Pembangunan bukan dengan air mata rakyat | Sinar Harian (19 Oktober 2014)

Pembangunan bukan dengan air mata rakyat
GEORGETOWN – Kerajaan negeri harus memainkan peranannya untuk menyelamatkan perkampungan Melayu dan warisan di negeri ini.

Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang, Tan Sri Mohd Yussof Latiff berkata, kerajaan negeri mempunyai kuasa dalam soal perancangan pembangunan dan kelulusan setiap projek yang hendak dibangunkan di negeri ini.

Menurutnya, sekiranya kerajaan negeri memainkan peranan itu ia sekali gus dapat menyelamatkan penduduk daripada diusir di penempatan asal mereka.

Beliau berkata, menjadi tanggungjawab kerajaan negeri dalam memastikan kepentingan rakyat selain memberi pembelaan sewajarnya.

“Kerajaan negeri perlu bekerjasama dengan Pusat bagi mendapatkan dana untuk memastikan setiap penduduk terlibat diberikan penempatan semula di kawasan kampung mereka.

“Mungkin sebahagian tanah di kampung terbabit seperti Kampung Mutiara ini boleh dibeli untuk dibangunkan projek perumahan bagi penduduk terlibat dan Pemenang bersedia menjadi orang tengah dalam membincangkan perkara berkenaan. Ini bukan soal politik atau perkauman tetapi demi rakyat,” katanya semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai nasib penduduk Kampung Mutiara, Batu Feringghi yang bakal kehilangan rumah untuk memberi laluan kepada projek pembangunan.

Mohd Yussof berkata, urusan mendapatkan hak terhadap sebahagian tanah di Kampung Mutiara itu boleh dilakukan mengikut undang-undang tanah di negara ini yang kebiasaannya terletak di bawah kuasa kerajaan negeri.

Menurutnya, Pemenang dan Pertubuhan Amanah Warisan Melayu (Pewaris) melihat keadaan dan nasib penduduk di beberapa kampung warisan ini semakin parah

“Langkah menyelamatkan kampung-kampung terbabit perlu disegerakan. Pemenang dan Pewaris tidak menghalang pembangunan tetapi tidak mahu pembangunan dirancang dilakukan atas tangisan rakyat.

“Perbincangan perlu diadakan bagi memastikan kampung-kampung ini terutamanya penduduk asal negeri ini tidak terus terpinggir sehingga terpaksa berpindah tanpa penempatan baharu,” katanya.

Sumber asal: http://www.sinarharian.com.my/edisi/utara/pembangunan-bukan-dengan-air-mata-rakyat-1.325631

Leave a Reply