Ucapan Aluan – Seminar Pemerkasaan Warisan Melayu Pulau Pinang: Cabaran dan Harapan

UCAPAN OLEH YANG BERBAHAGIA TAN SRI DATO’ SERI HAJI MOHD YUSSOF ABDUL LATIFF, PRESIDEN, PERSATUAN MELAYU PULAU PINANG (PEMENANG)  MERANGKAP PRESIDEN PERTUBUHAN  AMANAH WARISAN MELAYU PULAU PINANG DI SEMINAR PEMERKASAAN WARISAN MELAYU PULAU PINANG:  CABARAN DAN HARAPAN ,1 NOVEMBER 2014,DEWAN PERSIDANGAN UNIVERSITI (DPU),UNIVERSITI SAINS MALAYSIA, MINDEN, PULAU PINANG.

KEARAH MELESTARIKAN WARISAN MELAYU PULAU PINANG

Assalamualaikum W.B.T.

Segala puji-pujian hanya kepada Allah S.W.T., Tuhan yang mencipta alam seluruhnya serta mengatur dan menjaganya, terutamanya kita sebagai manusia yang dicipta oleh Nya dengan sebaik-baik kejadian sebagai khalifah di muka bumi Allah ini.

Salam dan Salawat keatas yang paling mulia diantara Rasul-Rasul, Nabi Mohamad S.A.W. dan juga keatas sekalian Keluarga Baginda, Para Sahabat Baginda dan Para Tabi’in dan Syuhada.

Saya dengan penuh kesyukuran dan tawadduk merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Y.Bhg.Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Timbalan Pengerusi Kazanah Nasional Berhad dan YBhg Prof. Dato Dr Umar Osman, Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) yang telah sudi hadir dan juga sudi memberi ucapan di “Seminar Permerkasaan Warisan Melayu Pulau Pinang” yang bertajuk “Cabaran Dan Harapan” yang diadakan di Dewan Persidangan Universiti (DPU) yang bertuah pada pagi ini.

Saya juga meyampaikan terima kasih kepada YBhg Prof. Dato Seri Dr. Md. Salleh Yaapar, Penyelaras Operasi, Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa, USM yang telah sudi untuk memberi ucapan penutupan rasmi seminar pada petang ini, nanti.

Seterusnya saya meyampaikan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada YBhg-YBhg Prof-Prof, Dato-Dato yang telah sudi untuk menjadi Pengerusi-Pengerusi Sessi dan juga sebagai Pembentang Kertas Kerja dalam Seminar ini.

Tuan-Tuan, Puan-Puan Para Peserta Seminar yang dihormati sekalian,

Setelah 57 tahun negara mencapai kemerdekaan, dan selama itu Pulau Pinang menjadi sebuah negeri yang berdaulat di bawah Persekutuan Malaysia, masih terdapat perdebatan mengenai asal-usul penduduknya. Pertikaian siapa yang terawal di Pulau Pinang masih dibincangkan dengan hebat dan kencang.

Inilah satu-satunya cabaran yang besar yang dihadapi oleh masyarakat Melayu negeri ini. Saya akur akan peminggiran ekonomi, politik dan sosial orang-orang Melayu Pulau Pinang.

Segala usaha telah dan sedang dilakukan bagi melestarikan kehidupan Melayu di Pulau Pinang. Hasrat pemimpin kita ialah supaya kehidupan masyarakat Melayu kini dan masa depan, dalam keadaan aman, damai dan sejahtera.

Namun, keamanan, kedamaian dan kesejahteraan tidak akan tercapai jika zaman lalu sesuatu kaum itu tidak diiktiraf dan direstui dalam memori kolektif sesebuah negara. Satu lagi dimensi ialah kesejahteraan masa lalu – memori kolektif dan ingatan kehidupan masa lampau yang membentuk masa depan. Bagi setiap kelompok manusia, masa depan mereka berdasarkan pada zaman silam.

Salah satu dimensi yang perlu diterokai ialah sejarah Pulau Pinang (termasuk Tanjong dan Seberang Perai) sebelum kedatangan Inggeris. Sekali lagi saya menekankan bahawa Melayu telah bertapak di negeri ini lama sebelum kedatangan kaum-kaum lain. Melayu, dan kaum-kaum Islam yang lain, telah menjalin sebuah masyarakat yang berintegriti, beridentiti dan bertamadun terutama sekali di bawah kesultanan Kedah, dan hubungan dengan kerajaan-kerajaan lain seperti Aceh, Siak dan Batu Bara.

Ciri-ciri ini tidak lagi kelihatan akibat ketidak upayaan kumpulan aktivis warisan bersatu padu dan merangka satu proses dan strategi yang dapat bersaing. Ini bukanlah usaha perkauman, tetapi kita mesti mempertahankan kewujudan dahulu dan apa yang wariskan untuk masa depan.

Apa yang telah dibina di Tanjong, Jelutong, Batu Uban dan Tanjong Tokong perlu diceritakan dan dilestarikan sebagai warisan awal Pulau Pinang.

Satu masalah ketara ialah tanah milik Melayu dan pengisytaharan tanah warisan. Penggiat dan Persatuan Warisan Melayu di negeri ini mesti mengenalpasti tanah-tanah warisan dan bergabung tenaga menggunakan saluran undang-undang dan pentadbiran supaya tanah-tanah warisan itu diisytiharkan. Saya juga ingin tekankan bahawa dalam hal ini, kita juga harus memperluaskan bidang tanah yang dipercayai boleh diisytiharkan sebagai tanah warisan.

Orang Melayu memang terpinggir dalam hal tanah. Catatan tahun 1792 misalnya menunjukkan bilangan penduduk orang-orang Melayu dari Aceh, Batu Bara, Minangkabau, dan orang Bugis adalah besar dan merupakan kumpulan majoriti. Apakah persaingan telah meminggirkan kita?  Ada juga pemilikan asal sebelum tahun 1786 diambil dengan pemberian pampasan.

Apabila soalan tanah direntap, maka soal-soal tradisi dan budaya pun menjadi lentur dan luntur, maka hilanglah sejarah dan warisan apabila tempat kita bermastautin itu dilenyapkan didepan mata kita.

Ini juga menjadikan cerita Melayu Pulau Pinang tidak sampai ke UNESCO. Persidangan seperti ini amat penting dalam mengutarakan cerita Melayu Pulau Pinang dengan harapan ia sampai ke perhatian antarabangsa dan telinga UNESCO.

Saya harap hasil seminar ini diterbitkan dan diwarwarkan sebagai satu sumber definitif sejarah Melayu Pulau Pinang. Adalah kritikal untuk melihat Pulau Pinang sebagai pusat budaya dan warisan Melayu dari perspektif Kedah dan perhubungannya dengan sejarah Sumatera, Kedah dan rantau Melayu.

Ini adalah kerana ramai tokoh peneroka awal Melayu yang membuka banyak tempat samada di Tanjong Penaga atau Tanjong Pinang sendiri, Batu Uban, Tanjong Tokong, Bayan Lepas, Balik Pulau, Batu Feringgi dan Telok Bahang telah memberi nama (nama-nama Melayu) pada tempat yang diterokai. Ini terpampang pada peta-peta lama Pulau tersebut yang dicetak sekitar 1780an hingga 1830an.

Dan banyak nama, misalnya ‘Gelugor,’ mencerminkan nama tempat yang terdapat di rantau alam Melayu atau memaklumlan kita bahawa Melayu telah wujud di Pulau Pinang sejak abad ke 16-17 lagi dengan wujudnya nama ‘Batu Feringghi’

Kini terdapat ramai tokoh terbilang dari kalangan anak-anak Pulau Pinang yang kini telah berjaya dalam kerjaya masing-masing,mempunyai kedudukan dan pengaruh pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Saya menyeru mereka ini menyumbang sumber, tenaga, buah fikiran dan kewangan bagi membantu dalam usaha melestarikan sejarah dan Warisan Melayu dan Islam Pulau Pinang.

Kegiatan Warisan Melayu dan Islam Pulau Pinang memerlukan idea dan usaha bagi menjalankan pelbagai projek yang termasuk penerbitan, pemuliharaan tanah dan bangunan serta penggalakan warisan ketara dan tidak ketara.

Kita tidak mahu melihat Kampung Warisan Melayu Pulau Pinang dihapuskan. Antara kampung yang yang kian membimbangkan kini ialah:

  • Kampung Batu Uban (yang terletak diseberang jalan Minden, dimana terletaknya Unversiti Sains Malaysia)
  • Kampung Tanjong Tokong [Daerah Timur Laut]
  • Kampung Tanjong Bungah [Daerah Timur Laut]
  • Kampung Pokok Assam [Daerah Timur Laut]
  • Kampung Mutiara, Batu Feringghi [Daerah Timur Laut]
  • Kampung Charok Bunting, Balik Pulau [Daerah Barat Daya]
  • Kampung Binjai, Bayan Lepas [Daerah Barat Daya]
  • Kampung Tok Subuh, Machang Bubuk [Daerah Seberang Perai Tengah]

 

Atas sebab-sebab yang tersebut tadi maka Pertubuhan Amanah Warisan Melayu Pulau Pinang (PEWARIS) diasaskan pada tahun 2013. Penubuhannya ditaja oleh Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG)

PEWARIS amat prihatin dan sangat-sangat menghargai serta memperjuangkan kelestarian warisan Melayu di Pulau Pinang. Warisan budaya Melayu dalam bentuk ketara (tangible) dan tidak ketara (intangible) adalah menjadi wadah bagi menyatupadukan seluruh lapisan masyarakat Melayu untuk merasakan bahawa kewujudan mereka dalam konteks bangunan, monumen, lanskap, seni, budaya, pengetahuan, kemahiran, ekspresi, amatan dan representasi.

Dengan penuh kesedaran dan kepercayaan serta yakin akan kekuatan dan keistimewaan warisan Melayu yang diwarisi dari datuk nenek moyang mereka menjadi suatu tanggungjawab dan amanah untuk dijaga, dipulihara, dipelihara dan diwariskan bagi generasi masa depan.

Maka setiap individu Melayu di negeri Pulau Pinang perlu menggalas tanggungjawab dan amanah untuk menyempurnakan peranan mereka sebagai pewaris dan penjaga warisan Melayu yang dimiliki untuk  kepentingan agama, bangsa dan negara.

Menyedari akan aspek-aspek di atas, Jawatankuasa Protem telah ditubuhkan pada 8 Februari 2013 dan pada 11 Jun 2013, Mesyuarat telah diadakan lagi bagi membincangkan deraf Rang Perlembagaan yang telah dirangka untuk semakan Jawatankuasa Penaja, yang mana, nama Pertubuhan Amanah Warisan Melayu Pulau Pinang telah ditulus dan didaftarkan oleh Pendaftar Pertubuhan pada 8 April 2014 dan singkatan Pertubuhan ini ialah PEWARIS.

PEWARIS mengalu-alukan penglibatan semua lapisan penduduk Melayu negeri ini. Malah, PEWARIS berhasrat menjadi sebuah Pertubuhan ulung dalam menerajui isu-isu yang disebut tadi.

Dengan itu, PEWARIS mempunyai matlamat dan dasar sepertimana yang termaktub dalam pelembagaan PEWARIS ialah :-

  1. Menyatupadukan tenaga dan fikiran orang-orang Melayu di Pulau Pinang bagi mempertahankan  Warisan Melayu dan Islam di Negeri Pulau Pinang
  2. Berikhtiar dan berusaha bahawa Warisan Melayu dan Islam adalah sebahagian hak asasi manusia
  3. Mendapatkan persefahaman dan bantu membantu sesama Ahli PEWARIS khasnya dan orang-orang  Melayu amnya dalam Hal Ehwal Sejarah Warisan Melayu dan Islam
  4. Mengadakan bimbingan dan penerangan kepada orang-orang Melayu khasnya dan masyarakat lain amnya bahawa pencabulan kepada Sejarah dan Warisan Melayu dan Islam adalah satu jenayah dan  penyalahangunaan kuasa
  5. Amnya mempertahankan Warisan Melayu dan Islam dari sebarang ancaman yang akan menghapuskan identiti Melayu di Negeri ini.

Keadaan yang kita hadapi kini amat mencabar dan membimbangkan.  Segala idea yang dicetuskan dan yang diusahakan mesti dianggap kritikal dan mesti mendapat kerjasama dengan semua lapisan masyarakat. PEWARIS melihat jalinan ini sebagai satu langkah yang akan mencetuskan pelbagai cara demi melestarikan warisan Melayu di Pulau Pinang.

Bagi pihak jawatankuasa pengelola seminar ini, saya mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih bagi pihak PEWARIS kepada pihak Universiti Sains Malaysia (USM), Centre for Policy Research and International Studies (CenPRIS), Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG)  diatas sokongan dan kerjasama bagi menjayakan seminar ini.

Terima kasih juga disampaikan kepada ThinkCITY anak Syarikat Kazanah Nasional Berhad dan Majlis Warisan Negara, dengan ehsan Y.Bhg. Tan Sri Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim yang telah sudi membiayai kos pengendalian Seminar ini.

Amnya, saya bagi pihak Jawatankuasa Seminar meyampaikan ucapan terima kasih kepada para peserta Seminar yang telah sudi menyertai Seminar yang berserjarah dan penuh bermakna ini.

Adalah menjadi harapan dan doa saya semoga Peserta-Peserta Seminar hari ini akan bersidang dengan penuh komitmen dan segala rumusan seminar ini kelak akan melestarikan Warisan Melayu dan Warisan Islam di Negeri Pulau Pinang.

Sekian, Terima Kasih.

Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamulaikom Warohmatullahi Watalla.

PANTUN

Pohon Rambuan Pohon Pulasan,
Tumbuh tersusun didalam Taman,
Seminar Warisan dianjur bagi permerkasaan,
Semoga tak hilang ditelan zaman.

Nelayan kelaut memukat kasai,
Kasai dijual dipekan Nostalgia,
Perjuangan kita masih belom selesai,
Sehingga Warisan Melayu terjulang bahagia.

Kain pelekat coraknya terbalik,
Dipakai selalu tampa dibantah.
Setelah bertekat tak akan berbalik,
Bujur melalu melentang patah.

Batang kelapa dibuat titi,
Bagi menghubung dua sempadan,
Warisan Melayu memperkasakan Identiti,
Bahasa Kebangsaaan simbol perpaduan.

Merah menawan sibijik saga,
Lebat daunnya tidak beduri,
Warisan Melayu hendaklah dijaga,
Bagi megekal jati diri bangsa sendiri.

Wahai Melayu bersatulah ikatan,
Buktikanlah kita ini pewaris watan,
Pertahankan Warisan untuk permerkasaan,
Tak akan gentar dari sebarang ugutan.