Ucapan Perasmian – Seminar Pemerkasaan Warisan Melayu Pulau Pinang: Cabaran dan Harapan

UCAPAN TAN SRI NOR MOHAMED YAKCOP DI UPACARA PERASMIAN SEMINAR PEMERKASAAN WARISAN MELAYU PULAU PINANG: CABARAN DAN HARAPAN DI DEWAN PERSIDANGAN UNIVERSITI SAINS MALAYSIA, PULAU PINANG PADA 1 NOVEMBER 2014 (SABTU), 8.30PAGI


Y. Bhg. Dato’ Prof. Dr. Omar Osman
Naib Canselor,
Universiti Sains Malaysia;

Y. Bhg. Prof. Dato’ Seri Dr. Md. Salleh b. Yaapar
Penyelaras Operasi,
Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa
Universiti Sains Malaysia;

Y. Bhg. Tan Sri Dato’ Seri Haji Mohd Yussof Latiff
Presiden,
Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG) merangkap
Pengerusi,
Persatuan Amanah Warisan Melayu Pulau Pinang (PEWARIS);

YBhg. Dato’-Dato’ dan Datin-Datin;

Para hadirin yang dihormati sekalian.

Asalamualaikum Warahmatullahi Wabarahkatu dan Salam Sejahtera.

1. Alhamdulillah syukur kita kehadrat Allah SWT kerana dengan limpah hidayah-Nya, dapat kita bersama-sama berhimpun di Majlis Perasmian Seminar ‘Pemerkasaan Warisan Melayu, Pulau Pinang: Cabaran dan Harapan’ pada hari ini.

2. Saya ingin merakamkan ucapan setinggi penghargaan kepada pihak penganjur yang telah menjemput saya untuk menyempurnakan Majlis yang penuh bermakna ini. Kepada YBhg Prof Dato’ Dr. Omar Osman, YBhg Prof Dato’ Seri Dr.Salleh Yaapar, YBhg. Tan Sri Mohd Yusoff Latiff dan serta semua pihak yang terlibat menjayakan Majlis ini, saya ucapkan syabas dan setinggi-tinggi tahniah.

Hadirin sekalian,

3. Sebagai pembuka kata, izinkan saya menyampaikan dua rangkap pantun:

Bukan lebah sebarang lebah,
Lebah bersarang dipohon kayu,
Bukan sembah sebarang sembah,
Sembah adat pusaka Melayu.

Kalau roboh kota Melaka
Papan di Jawa kita dirikan
Kalau disebut umat perkasa
Hebat membela warisan pusaka

Hadirin sekalian,

4. Budaya dan adat resam merupakan warisan bangsa yang menggambarkan amalan dan cara hidup tersendiri sesebuah masyarakat. Malangnya, warisan bangsa kini kian pudar ditelan arus pembangunan. Sebagai sebuah bangsa dan masyarakat Melayu, kita seharusnya terus berpegang teguh kepada budaya dan adat resam bangsa yang mempunyai identiti dan jati diri tersendiri. Bagi kita, pentingnya budaya dan adat resam jelas terbayang dalam peribahasa Melayu ‘biar mati anak, jangan mati adat’.

5. Saya percaya diatas kesedaran inilah, pihak Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa (CenPRIS), Universiti Sains Malaysia dan Persatuan Amanah Warisan Melayu di Pulau Pinang bersama berganding usaha menganjurkan Seminar Pemerkasaan Warisan Melayu Pulau Pinang: Cabaran dan Harapan, pada hari ini, sebagai penyambung usaha berterusan demi memperkasakan warisan Melayu,
khusunya di Pulau Pinang.

6. Saya yakin usaha seperti ini akan dapat menambah, meningkat dan memperluas kesedaran kita sebagai pewaris dan penjaga warisan Melayu yang diwarisi dari datuk nenek moyang kita. Hanya dengan ini dapat kita bersama memulihara (memulih dan memelihara) dan mempastikan kelestarian warisan kepada generasi muda sekarang dan generasi masa hadapan nusa bangsa tercinta ini.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

7. Warisan adalah sesuatu yang diwarisi dari generasi ke generasi. Konsep warisan itu memiliki dua gambaran atau dua citra, yakni gambaran pertama iaitu fizikal dalam ertinya adanya sesuatu ciptaan yang bersifat kebendaan, dan kedua ialah gambaran rohaniah.

Saya mulakan dengan konsep fizikal. Sebelum tahun 2005, iaitu sebelum digubal Akta Warisan Kebangsaan 2005, perlindungan dan pemuliharaan warisan budaya diMalaysia tidak begitu berkesan. Lantaran itu, kehilangan, kecurian, pengabaian dan kemerosotan nilai warisan budaya sering berlaku.

8. Sebelum Akta Warisan Kebangsaan 2005, pihak Kerajaan Perseketuan amat bergantung pada Akta Bendapurba 1976 (Akta 168) dan Akta Harta Karun 1957 (Akta 542). Walau bagaimanapun, Akta Bendapurba 1976 hanya untuk melindungi dan memulihara warisan negara, tidak termasuk aspek-aspek ketara (tangible) dan tidak-ketara (intangible). Akta Harta Karun 1957 (Akta 542) pula hanya terhad kepada harta karun. Untuk mengatasi masalah ini, pada tahun 2004, Kerajaan Pusat melalui Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan telah mengusulkan pindaan rang undang-undang mengenai pemuliharaan warisan. Lanjutan daripada itu, pada sidang parlimen pada Januari 2005 para penggubal undang-undang telah menyokong pindaan terhadap Jadual 9, Perlembangaan Persekutuan dengan memasukkan usul pemuliharaan di dalam Senarai Bersama. Ini telah menjadikan warisan di bawah bidang kuasa perundangan bersama antara Kerajaan Perseketuan dan Kerajaan Negeri. Ini secara tidak langsung telah memudahkan kedua-dua belah pihak dan dan juga rakyat terlibat dalam pemuliharaan, perlindungan, pengembangan dan penjagaan ke atas warisan negara. Akta Warisan Kebangsaan 2005 ini telah merangkumi semua perkara perundangan yang berkaitan dengan pemuliharaan.

9. Dengan adanya Akta Warisan ini telah memberi panduan yang lebih jelas untuk melaksanakan pengurusan secara sistematik dan lebih berkesan. Melalui Akta Warisan Kebangsaan 2005 telah dilakukan perisytiharan warisan kebangsaan. Ini merupakan langkah drastik untuk menyelamat dan memulihara warisan negara seberkesan mungkin. Warisan yang bersifat kebendaan itu boleh sahaja berbentuk tapak sejarah atau arkeologi seperti Lembah Bujang Kedah, Gua Cha Kelantan dan Kota Tampan Lenggong, peralatan hidup berupa keris, lembing, tombak sebagai alat-alat kebesaran dan istiadat kerajaan Melayu, pakaian dan perhiasan, bangunan-bangunan istana, pelbagai bentuk ukiran Melayu, seni bina seperti Masjid Kampung Laut, Masjid Kapitan Keling Pulau Pinang, kota-kota seperti Kota Melaka. Manakala warisan sejarah kolonial seperti Fort Cornwallis Pulau Pinang dan Formosa di Melaka itu tidak lebih sebagai kenangan tanda zaman pemerintahan asing yang menunjukkan bahawa Tanah Melayu dan Malaysia itu sentiasa ‘diingini orang’.

Sifat kelautan yang mengelilingi daratan dunia Melayu dengan tanah semenanjung dan belasan ribu pulau itu menjadikan bangsa Melayu besar juga mahir membikin bentuk-bentuk pengangkutan air seperti aneka jenis perahu untuk kegunaan di sungai dan kapal-kapal untuk mengharungi laut dan samudera. Kajian hendaklah dilakukan di peringkat agensi, institusi negeri dan nasional agar dapat diabadikan dalam bentuk penerbitan media cetak dan elektronik. Teladan silam warisan bangsa itu, malahan dapat membantu pengajian dan aplikasi penciptaan pada zaman sekarang sekiranya didorongkan proses inovasi dan kreativiti.

10. Justeru itu, saya mengalu-alukan usaha Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa (CenPRIS), Universiti Sains Malaysia dan Persatuan Amanah Warisan Melayu Pulau Pinang (PEWARIS) untuk mengetengahkan wancana warisan Melayu di Pulau Pinang. Dasar pemuliharan masih dijadikan panduan dalam untuk pemuliharaan warisan budaya ketara dan tidak ketara. Dasar ini dijadikan rujukan untuk menentukan cara untuk melidungi warisan itu kekal dan menjadi hak milik negara.

11. Selain itu, dasar pameran dan pendidikan muzium bertujuan untuk mempamerkan dan memperagakan setiap objek atau artifak warisan kepada masyarakat amnya para pelajar sekolah rendah, menengah dan Institut Pengajian Tinggi. Dasar ini dapat menyampaikan hasrat Kementerian dan Jabatan Muzium mengenai ilmu pengetahuan yang dapat diterima dan menyampaikan maklumat-maklumat kepada mereka yang menjadi tumpuan atau fokus. Oleh itu, untuk memudahkan dan menyeragam maklumat mengenai setiap artifak yang perlu dipamerkan memerlukan satu sistem pengurusan warisan yang baik.

12. Pada pengamatan saya, boleh dikatakan setiap Perdana Menteri kita sangat menaruh harapan kepada warisan bangsa bukan semata-mata bagi dipertontonkan di muzium-muzium tetapi menjadi alat atau antara wahana pendidikan dan iktibar. Jika dikaitkan dengan Almarhum Tunku Abdul Rahman sehingga beliau digelarkan ‘Bapa Kemerdekaan’, warisan sejarah sebagai bandingan perlu diperhatikan rakyat. Zaman kolonial dan kemerdekaan Malaysia diingatkan beliau supaya jangan dipersiakan. Kemiskinan Melayu yang diwarisi dari keserongan dasar kolonial perlu diperbaiki. Maka dasar pembangunan negara diperkenalkan dan kemajuan masyarakat Melayu luar bandar menjadi keutamaan agenda pemerintah, dan ditangan Allahyarham Tun Abdul Razak terciptanya Dasar Ekonomi Baru (DEB) (1971-1990) lanjutan dari dasar pembangunan sejak kemerdekaan melalui Rancangan Tanah Melayu Pertama.(1955-1960) Bangsa Melayu boleh maju menerusi sistem pendidikan yang sempurna.

Jika ditelusuri, maka kita boleh lihat peranan Allahyarham Tun Hussein Onn dalam konteks perpaduan bangsa dan negara, Tun Dr Mahathir dengan gagasan Wawasan 2020 dan negara maju, Tun Abdullah Badawi dengan slogan cemerlang, gemilang dan terbilang dan kini Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dengan Agenda Transformasi Kerajaan (GTP) dalam bidang-bidang utama itu menunjukkan pucuk pimpinan Melayu tidak pernah kering idea dalam warisan pemikiran dan menggerakkan kestabilan politik tanah air. Warisan mereka tidak berbentuk kebendaan tetapi telah diterjemahkan dalam proses kreativiti budaya, misalnya Menara Berkembar Petronas (KLCC), Pusat Pentadbiran Putrajaya dalam jarak waktu sekurun dua akan datang akan mengambil tempat sebagai warisan fizikal negara bangsa Malaysia pula.

13. Selain daripada beberapa perkara di atas, izinkan saya untuk menyentuhi juga sedikit sebanyak tentang gambaran rohaniah dalam konsep warisan ini. Bidang rohaniah itu adalah merujuk kepada warisan pemikiran falsafah, perkongsian nilai-nilai budaya murni dan norma atau peraturan kehidupan , kejiwaan, semangat, daya juang dan daya saing yang kuat dan beberapa nilai-nilai budaya positif termasuk aspek nilai yang diabadikan dalam konep 1Malaysia. Mengikut Dato’ A Aziz Deraman, dalam bukunya Wacana Peradaban Malaysia (DBP: 2010), kita boleh merujuk sifat-sifat sedemikian dalam sejarah tamadun Melayu sejak zaman pra-sejarah ataupun seawal Masehi lagi dengan adanya sistem berkerajaan dalam sejarah Funan, Langkasuka, Srivijaya, Campa dan kegemilangan Empayar Melayu Melaka. Maknanya, peradaban yang lahir dari warisan bangsa Melayu itu secara umumnya di ukur atas tahap kemajuan pembangunan luaran dan dalaman sesuatu rumpun bangsa yang dapat ditelusuri dari sudut kekuatan politik, kemajuan ekonomi, kesejahteraan social dan jati diri kebudayaan tingginya.

Mengikut Dato’ A Aziz Deraman, sesebuah peradaban tidak terbina kukuh di landasan perbezaan, tetapi tegak atas perkongsian persamaan. Kalau kebudayaan yang lahir dari warisan itu dikatakan sebagai suatu keseluruhan kompleks kehidupan yang mengandungi pelbagai macam cara hidup yang berkaitan dengan falsafah dan pemikiran, aspek, kesenian (seni muzik, teater, seni bina, seni ukir, seni tampak dan sebagainya), nilai dan norma atau adat resam sesuatu bangsa, maka bahasa dan sastera yang mendukung pemikiran dan falsafah bangsa menjadi tunjangan peradaban yang maka penting, membawa bersamanya tradisi ilmu. Kita boleh mengkaji minda Melayu misalnya dalam pantun, peribahasa, syair dan segala macam bentuk puisi Melayu, hikayat-hikayat dan sebagainya. Ada ribuan naskhah manuskrip Melayu yang perlu dikaji. Kini ada ribuan naskhah manuskrip tersimpan di Pusat Manuskrip Melayu, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM). Dua genius Melayu yakni Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah telah pun disytiharkan UNESCO sebagai warisan dunia.

Dalam konteks yang sama, saya ingin memetik kata-kata indah oleh Allahyarham Usman Awang tentang satu aspek sastera kita, iaitu puisi. Petikan ini, dari buku Suara Rasa yang dikeluarkan oleh Maybank pada tahun 1993, adalah seperti berikut :-

“Kebijaksanaan dalam kejadian alam dan manusia sepanjang sejarahnya telah menentukan bahawa pada tiap masyarakat sentiasa ada orang-orang yang berbakat dan berminat untuk melakukan kegiatan kesenian. Salah satu bentuk kesenian itu ialah puisi – suatu kebijaksanaan mengarang kata-kata yang berisi makna yang baik dan berkesan. Masyarakat Melayu lama yang tinggal di Negara ini berkurun-kurun lamanya dulu pun telah mencipta puisi-puisi lama seperti pantun, seloka, gurindam, syair dan pepatah petitih yang kaya dengan kebijaksanaan zamannya, dan telah mewariskan sebahagian daripadanya untuk menjadi sebahagian daripada kebijaksanaan kita pada hari ini.

Kebanyakan penyair Malaysia dilahirkan dan mengalami zaman awal kehidupan mereka di kampong. Oleh yang demikian, kita dapat membaca kisah-kisah petani turun ke sawah dan nelayan turun ke laut bersama harapan dan derita yang ditanggong, serta gambaran kehijauan dan kedamaian daerah pendalaman. Imej-imej seperti sawah, ladang, tanah, nakil, badai, sungai, laying-layang, burung dan ikan banyak digunakan walaupun dalam puisi-puisi yang mengungkapkan kehidupan kota. Kita dapati juga imej-imej keagamaan seperti doa, sujud, abadi, dosa dan sebagainya dalam puisi-puisi penyair Melayu, menunjukan keterikatan penyair dengan kepercayaan agama. Kepekaan terhadap kejadian sekeliling adalah aset penting bagi penyair. Ini menimbulkan perkara-perkara yang menarik dalam puisi. Kaya dengan idea dan unik dalam cerita.

Kepekaan terhadap sekitaran bermakna betapa pun seorang penyair itu tidak melibatkan diri secara sedar dengan pergolakan politik, ekonomi atau sosio- budaya masyarakatnya, dia tidak mungkin mengasingkan dirinya daripada pergolakan masyarakatnya. Dan betapa pun penyair itu memilih untuk menulis hanya soal-soal peribadinya atau soal alam sahaja, dia tidak mungkin berbuat demikian tanpa terpengaruh atau terkesan dengan persoalan-persoalan kemasyarakatan atau kemanusian zamannya. Kepekaan terhadap kehidupan dan pernyataan reaksi peribadi sang penyair, itulah puisi. Tanpa kepekaan dan tanpa reaksi itu tiadalah puisi.”

14. Saya sekali lagi ingin mengalu-alukan usaha tabah Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa Universiti Sains Malaysia, Pertubuhan Amanah Warisan Melayu Pulau Pinang (PEWARIS) yang diasaskan oleh PEMENANG dalam memperjuangkan kelestarian warisan Melayu di Pulau Pinang. Bagi saya, Seminar Pemerkasaan Warisan Melayu Pulau Pinang: Cabaran dan Harapan ini merupakan satu usaha yang efektif dalam menggalakan awareness mendalam dikalangan masyarakat Melayu Pulau Pinang.

15. Kepada masyarakat Melayu Pulau Pinang, marilah kita sama-sama menggalas tanggungjawab kita sebagai pewaris dan penjaga warisan melayu yang dimiliki untuk kepentingan agama, bangsa dan negara.

16. Tinggi harapan saya supaya Seminar ini berjaya memberi pendedahan dan pengetahuan mendalam mengenai warisan Melayu kepada masyarakat, terutamanya kepada generasi muda, serta menggariskan perancangan dan tindakan yang perlu di ambil oleh semua pihak ke arah memertabatkan warisan tersebut.

17. Dengan lafaz Bismillahir Rahmanir Rahiim, maka sukacita saya merasmikan Seminar Pemerkasaan Warisan Melayu Pulau Pinang: Cabaran dan Harapan.
Sekian, terima kasih.

Wabillahi Taufik Walhidayah,

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarahkatu.
Kuala Lumpur.
(1-11-2014)

Leave a Reply