Elak Lantik Orang Politik dalam MAINPP | Sinar Harian (2 Oktober 2015)

MOHD ISKANDAR OTHMAN
1 OKTOBER 2015

 

GEORGETOWN – Individu berkepentingan politik tidak perlu ada dalam jawatankuasa Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) kerana dikhuatiri akan mengundang perpecahan dalam kalangan masyarakat Islam di negeri ini.Sebaliknya, golongan profesional, ahli akedemik, ulama dan individu bebas yang mempunyai intergriti berwibawa dicadangkan menjadi pentadbir dan penggerak kepada badan berkenaan.Yang Dipertua Persatuan Qaryah-Qaryah Masjid Negeri Pulau Pinang, Tan Sri Mohd Yussof Latiff sudah mengemukakan cadangan itu kepada Yang di-Pertuan Agong selaku ketua agama Islam di negeri ini bagi membendung masyarakat terus berpecah belah disebabkan keghairahan berpolitik.

Beliau berkata, cadangan itu penting kerana melibatkan penyatuan dan perpaduan umat Islam di negeri ini selain mengelakkan campur tangan politik dalam urusan MAINPP, Zakat Pulau Pinang dan pelantikan ahli jawatankuasa qaryah masjid.

“Bukti amat ketara dapat kita lihat sekarang ini apabila berlaku perpecahan masyarakat Melayu dan umat Islam di negeri ini disebabkan kepentingan politik.

“Malah yang terbaharu Ketua AMK Pulau Pinang, Asrol Sani Abdul Razak dan Ketua Wanita PKR, Nur Zarina Zakaria mendesak Adun Permatang Pasir dari Pas, Datuk Mohd Salleh Man Mat Aji mengosongkan kerusi Yang Dipertua MAINPP hanya disebabkan parti itu tidak lagi bersama pakatan harapan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menururtnya, perpecahan dalam kalangan anak qaryah juga pernah berlaku sebelum ini semasa perlantikan ahli jawatankuasa qaryah bagi penggal 2013-2015 dan masih dirasai hingga kini.

Sehubungan itu, institusi agama, masjid dan surau di negeri ini perlu bebas dari kongkongan politik dan seharusnya neutral supaya apa juga rancangan dan kegiatan terutama mengenai socio-ekonomi ummah sentiasa mendapat sokongan padu dari masyarakat.

 

KENYATAAN AKBAR MASJID