Kembali kepada Islam Sebenar | Sinar Harian (15 Oktober 2015)

GEORGETOWN – Kembali kepada ajaran Islam untuk mengelakkan perpecahan dalam kalangan masyarakat hanya disebabkan kepentingan tertentu.

Penerima Anugerah Tokoh Agama sempena Maal Hijrah anjuran Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang), Salleh Hashim berkata, jika dapat menghayati ajaran Islam sudah pasti tidak akan wujud bibitt perpecahan atau kelakuan yang melampau akibat perbezaan pendapat atau tiada persefahaman.

Beliau berkata, walaupun mempunyai perbezaan pendapat namun perbalahan tidak akan menyelesaikan semua isu yang berbangkit sebaliknya kaedah musyawarah perlu dilakukan bagi mencari penyelesaian.

“Apa yang berlaku sekarang disebabkan kita jauh dari Islam yang sebenar.

“Islam tidak mengajak kita ke arah perpecahan sebaliknya mengajar kita semua perpaduan dan penyatuan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini har ini.

Terdahulu, Salleh yang juga Imam Masjid Taman Tun Sardon diberi anugerah sebagai tokoh agama sempena Maal Hijrah bersama Datuk Ibrahim Md Isa (Keusahawanan), Abdul Azmi Jaafar (Keusahawanan), Datin Sabariah Md Noor (Pendidikan) dan Jumabi Mohamad (Kemasyarakatan).

Turut diberi penghargaan ialah Tengku Hamidah Tengku Mahadi (Pendidikan), Hasnah Akhbar Khan (Kemasyarakatan), Datuk Mohamed Fadzill Hassan (Keusahawanan) dan Mohamed Ali Shaik Isa Zubaidee (Sukan).

Anugerah disampaikan Presiden Pemenang, Tan Seri Mohd Yussof Latiff.

SINAR HARIAN KHAMIS 15 OKTOBER 2015 - Kembali kepada Islam Sebenar