Forum Pra Kongres Majlis Muafakatan Melayu Malaysia (4M)

Forum Pra Kongres Majlis Muafakatan Melayu Malaysia (4M)
“Memperingati 70 Tahun Kongres Pertama Kebangkitan Melayu Bersatu Padu”
Tarikh : 1 Mac 2016 (Selasa)
Tempat : Dewan Budaya USM, Universiti Sains Malaysia (USM), Minden, Pulau Pinang
Masa : 8:00 Pagi – 1:00 Petang
Anjuran : Ikatan Kelab-Kelab Melayu Negeri Pulau Pinang (IKATAN)
Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG)
Dengan Kerjasama : Universiti Sains Malaysia (USM)
Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA)
Pelancaran Rasmi : TYT Tun Dato’ Seri Utama (Dr) Haji Abdul Rahman Bin Haji Abbas
Yang Di Pertua Negeri Pulau Pinang

Y.Bhg Tan Sri/PuanSeri /Dato’Seri /Datin Seri/Dato/Datin/Tuan/Puan,

JEMPUTAN KE FORUM PRA KONGRES MAJLIS MUAFAKATAN MELAYU MALAYSIA (4M)
“MEMPERINGATI 70 TAHUN KONGRES PERTAMA KEBANGKITAN MELAYU BERSATU PADU”

Memperingati Ulang Tahun Yang Ke-70 Kongres Pertama Pertubuhan-Pertubuhan Melayu yang berlangsung di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur pada 1 hingga 3 Mac 1946 yang telah di pelopori oleh Allahyarham Dato’ Onn bin Jaafar dimana Kongres tersebut telah memberi kesedaran kebangkitan untuk peyatuan dan perpaduan Melayu dengan merentasi sempadan Daerah-Daerah dan Negeri-Negeri yang telah melahirkan wadah perjuangan bangsa Melayu iaitu PEKEMBAR(UMNO). 

Menyedari bahawa lanjutan Kongres Muafakatan Melayu yang bersidang pada 2 hingga 4 Mei 2008M bersamaan dengan 25 hingga 27 Rabiulakhir 1429H di Persada Johor, Johor Bahru, Johor Darul Ta’zim yang telah dihadiri oleh 2100 peserta dari 250 buah Pertubuhan­Pertubuhan Melayu telah meluluskan 9 Rukun Perjuangan Bangsa Melayu sebagai asas perjuangan dan pegangan berterusan lagi kekal abadi untuk seluruh umat Melayu.

Maka Sekretariat Kongres Majlis Muafakatan Melayu Malaysia yang kini diterajui oleh Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG) dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM) dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) mencadangkan untuk mengadakan Kongres tersebut diatas yang akan ditentukan tarikhnya dan akan diberitahu kelak.

OBJEKTIF KONGRES 4M

  • Melaksanakan 9 Rukun Perjuangan Melayu seperti yang diputuskan dalam Kongres Permuafakatan Melayu yang telah berlangsung pada 2-3 Mei 2008 di Johor Bahru, Johar. 9 rukun itu mencakupi; kedaulatan dan keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Negeri-Negeri Melayu; kemuliaan dan kesucian Islam; insitusi Raja-Raja Melayu; demokrasi dan kedaulatan rakyat; kedaulatan undang­undang; kesaksamaan ekonomi; pendidikan kebangsaan; bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan kebudayaan dan kesenian kebangsaan. 
  • Menghimpun semua NGO Melayu yang berdaftar di Malaysia untuk sama-sama bermuafakat, membincangkan pembentukan Majlis Muafakat Melayu Malaysia.
  • Mengajak semua NGO Melayu berdaftar di Malaysia untuk sama-sama bermuafakat, berbincang secara jujur masalah, kegusaran dan penyelesaikan masalah yang melanda bangsa Melayu pada hari ini. 
  • Menubuhkan satu jawatankuasa eksekutif Majlis Muafakat Melayu Malaysia bagi menjalankan amanah yang diberikan oleh NGO Melayu yang menyokong pembentukannya.
  • Menghasilkan satu resolusi bagi disampaikan kepada kepimpinan politik Melayu dan Majlis Raja-Raja Melayu tentang hasrat dan pandangan Majlis ini untuk menjamin kesinambungan masa depan bangsa Melayu yang kukuh bersatu padu di tanah airnya sendiri.
  • Membincangkan bagaimana perbezaan ideologi politik tidak menyebabkan perpecahan sebaliknya dapat menyatupadu bangsa Melayu apabila muncul isu-isu kepentingan bersama iaitu kepentingan bangsa Melayu. 

Sebanyak tiga (3) Kertas Kerja oleh Ahli-Ahli Panel yang akan membentangkan Kertas Kerja dalam Forum tersebut.

Forum Pra Kongres ini akan di sempurnakan perasmiannya oleh Tuan Yang Terutama Tun Dato Seri Utama (Dr) Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas, Yang Di Pertua Negeri Pulau Pinang.

Sehubungan itu, dipohon kerjasama Y.Bhg Tan Sri/Puan Sri/Dato’ Seri/Datin Seri/Dato/Datin/Tuan/Puan agar dapat menghantar lima (5) orang Wakil dari Persatuan/Pertubuhan masing-masing untuk menghadiri Forum Pra Kongres dengan menghantar Borang Pengesahan Kehadiran Forum tersebut tidak lewat daripada 24 Februari 2016 kepada:

Urusetia Forum Pra Kongres Majlis Muafakatan Melayu Malaysia(4M)
Persatuan Melayu Pulau Pinang(PEMENANG),
No 60 Jalan PEMENANG, 10250 Pulau Pinang
Tel : 04-227 3092 Fax: 04-228 3937
Email: pemenang@pemenang.org.my

Sokongan dan kerjasama daripada pihak Y.Bhg Tan Sri/Puan Sri/Dato’Seri/Datin Seri/ Dato Datin/Tuan/Puan untuk turut bersama bagi menjayakan Forum yang tersebut diatas, sangat­-sangatlah dihargai dan disanjung tinggi demi penyatuan dan perpaduan Melayu.

 


ATURCARA MAJLIS

aturcara


TEKS UCAPAN

TAN SRI DATO’ SERI HAJI MOHD YUSSOF LATIFF,
PRESIDEN,
PERSATUAN MELAYU PULAU PINANG (PEMENANG) DAN
GABUNGAN PERSATUAN KEBUDAYAAN DAN KESENIAN MELAYU NEGERI PULAU PINANG (GABUNGAN)
MERANGKAP PENGERUSI
SEKRETARIAT FORUM PRA KONGRES 4M

_____________________________________

FORUM PRA KONGRES 4M MEMPERINGATI 70 TAHUN
KONGRES PERTAMA KEBANGKITAN MELAYU BERSATU PADU

1 MAC 2016 (SELASA) JAM 9.00 PAGI.

DEWAN BUDAYA,
UNIVERSITI SAINS MALAYSIA (USM)

Bismilahirahmanirrahim,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera.

Syukur Alhamdulillah, dengan limpah kurnia-Nya maka kita dapat bersama-sama menjayakan  satu majlis yang bermakna dan bersejarah ini.  Pada hari ini, 70 tahun yang lalu, tercetus satu peristiwa bersejarah dalam lipatan perjalanan Bangsa Melayu.  Hari ini kita pugar kembali semangat itu tapi dalam suasana yang berbeza tetapi lebih mencabar.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Ingin saya mengimbau kembali satu peristiwa bersejarah yang tersurat dalam takwim Bangsa Melayu. 70 tahun yang lalu iaitu pada tahun 1946,  telah berlangsung  Kongres Melayu yang pertama yang telah dihadiri oleh 41 buah pertubuhan Melayu dari seluruh Semenanjung Tanah Melayu. Kongres pertama tersebut yang telah diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru,  Kuala Lumpur  pada tahun 1946.  Kongres tersebut berlangsung selama 4 hari,  bermula 1 Mac 1946 iaitu bersamaan dengan 1 Mac pada hari ini iaitu tepat 70 tahun yang lalu.  Dalam Kongres Melayu pertama ini telah berhimpunan NGO2 Melayu di seluruh Semenanjung Tanah Melayu  di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur untuk menzahirkan satu perasaan dan ikatan perpaduan selepas tamatnya Peperangan Dunia Kedua.  Deraan dan cabaran oleh  Peperangan Dunia Kedua dan  penjajahan Inggeris telah menyuburkan kesedaran untuk NGO2 Melayu pada waktu itu bersatu dan bersuara demi satu bangsa dan masa depan Bangsa Melayu.

Salah sebuah dari 41 Pertubuhan Melayu yang menghadiri Kongres pertama pada 1 Mac 1946 ialah Persatuan Melayu Pulau Pinang iaitu PEMENANG. Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG) yang masih bergerak cergas sebagai sebuah Pertubuhan yang tidak terlibat dalam kegiatan politik kini meneruskan kegiatan-kegiatan kemasyarakatan yang berpaksikan kepentingan Bangsa Melayu. Sebagai sebuah pertubuhan pengasas Kongres Pertama Melayu yang masih hidup cergas, PEMENANG terpanggil untuk mengelolakan Forum Pra Kongres hari ini dan seterusnya Kongres Majlis Muafakatan Melayu Malaysia yang bakal dianjurkan kelak untuk membincangkan dengan lebih lanjut serta merumuskan penubuhan suatu Wadah atau majlis di peringkat Kebangsaan sebagai payung kepada orang-orang Melayu.

Tuan-tuan dan puan-puan, yang dimuliakan,

Kongres Melayu pertama 1946 mengandungi satu semangat yang sangat diperlukan oleh Bangsa Melayu pada ketika genting itu iaitu perpaduan menentang penubuhan Malayan Union, satu mekanisme penjajah Inggeris selepas Perang Dunia Kedua.  Tokoh yang penting yang mencetus dan mempelopuri Kongres Melayu pertama ini ialah Allahyarham Dato’ Onn Bin Jaafar.  Dalam ucapan sulongnya di Kongres itu,  Dato’ Onn Bin Jaafar telah berkata:

”Dari segala ceruk rantau Semenanjung Tanah Melayu ini telah kedengaran kepada kita seruan supaya bersatu padu, dan pada hari ini kesungguhan seruan itu teruji dan tatkala diadakan ujian itu maka tuan-tuan yang mewakili mereka itu hendaklah bersatu suara supaya seruan itu akan mendapat sahutan” (Dato’ Onn Bin Jaafar).

Ucapan Dato’ Onn Bin Jaafar ini  yang bertajuk ”Bersatu Hati Menentang Malayan Union”,  sarat dengan seruan supaya Bangsa Melayu seluruh pelusok Semenanjung Tanah Melayu bangun dan bersatu menentang satu cara penjajahan dan pergolakan baru Inggeris mahu menjajah semula Tanah Melayu selepas dikalahkan oleh Jepun. Hasil daripada Kongres Melayu pertama ini, Gagasan Malayan Union di roboh dan diruntuh, Pekembar atau kini dikenali UMNO ditubuhkan dan kemudian Tanah Melayu mencapai Kemerdekaannya pada   tahun 1957.

Tuan-tuan, puan-puan dan Hadirin-Hadirat yang dimuliakan,

Begitu hebatnya bila kita bersatu. Kuasa besar Inggeris dapat kita halau keluar dari tanah tercinta ini. Kita mencapai  kemerdekaan.  Pada hari ini telah 58 tahun kita merdeka bibit perpecahan di kalangan Bangsa Melayu bukan sahaja telah berputik semula akan tetapi telah ternyata dan menjadi semakin membimbangkan. Bangsa Melayu mula berpecah dalam latar yang berbeza.  Jika dahulu latarnya selepas Perang Dunia Kedua. Kini latarnya berbeza.  Latar kini ialah latar selepas merdeka. Latar bangsa Melayu mula membina kehidupan yang lebih baik.  Namun ada segelintir orang Melayu yang berkuasa dan berpengaruh telah menggugat perpaduan yang telah lama terbina. Apabila perpaduan di kalangan Bangsa Melayu mula hilang,  maka Bangsa Melayu akan  bergaduh dan bercakaran sesama sendiri dan dipandang sepi dan hina oleh bangsa-bangsa lain. Akhirnya Bangsa Melayu berpotensi merempat di bumi sendiri. “Nauzubillah” Hal ini tentu mengaibkan dan akan dikutuk oleh warisan kita akan datang.

Tuan-tuan, puan-puan dan Hadirin-Hadirat yang dimuliakan Sekelian,

Selepas merdeka, Bangsa Melayu memiliki lebih daripada satu parti politik.  Pastinya setiap parti itu mendokong ideologi politik yang berbeza.  Namun perbezaan ideologi  politik ini telah membuahkan bibit-bibit perpecahan di kalangan bangsa Melayu. Sebenarnya,  perbezaan ideologi politik tidak menjadi masalah besar. Namun yang menjadi masalahnya ialah perbezaan ini telah diperluas ke dalam bidang-bidang yang termasuklah Sio-budaya dan Agama. Bangsa Melayu perlu berpolitik dan cerdik berpolitik,  namun Bangsa Melayu telah mempolitikkan segalanya sehingga tidak nampak cerdiknya berbanding bangsa lain di negara ini.

Tuan-tuan dan Puan-puan, yang dimuliakan,

Bagaimanakah akan terjadi kepada Bangsa Melayu pada hari ini dan pada masa hadapan.  Sanggupkah kita berpeluk tubuh?

Maka ekoran Kongres Melayu kedua di Johor pada 2 hingga 4 Mei 2008,  maka elok direalisasikan NGO2 Melayu yang ada sebagai satu mekanisme untuk merngembalikan perpaduan Bangsa Melayu yang semakin menghilang dan semakin parah.  Maka bagi mengekang keadaan yang tidak baik ini maka NGO2 Melayu perlu keluar dari  perimetar perbezaan politik  dan bersatu dalam memperjuangankan kesejahteraan bersama menerusi suatu Majlis Perundingan iaitu Majlis Muafakatan Melayu Malaysia Ringkas 4M.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

Menginsafi keadaan ini,  maka Forum hari ini merupakan  satu fasa pertama untuk menghidupkan  kembali semangat perpaduan yang telah ditiup dan telah dipelupori oleh Dato’ Onn Bin Jaafar di Kongres Melayu pertama 1946.  Forum hari ini wajar menandakan satu kebangkitan NGO2 Melayu di seluruh Negara untuk menggilap kembali semangat perpaduan yang semakin malap oleh orang Melayu sendiri yang mempunyai kepentingan peribadi yang sempit dan merbahaya.

Dengan adanya semangat perpaduan di kalangan Bangsa Melayu secara jujur dan ikhlas,  maka perpaduan yang diperlukan akan menjadi suara yang dapat memperjungkan nasib dan masa depan Bangsa Melayu yang  sedang terumbang-ambing dilanda kemelut kepentingan diri dan tamak haloba yang tidak bertepi.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

Dengan adanya Majlis 4M ini, bersama-samalah kita bertekad untuk bersatu di bawah bendera kesederhanaan dalam pelbagai segi sama dalam berpolitik atau pun hal-hal kepentingan lain.

Islam telah menjelaskan dan menekankan bersederhana dalam melayari kehidupan ini.  Maka kembali kepada bahtera perpaduan yang sedang terumbang ambing dilanda gelora nafsu yang tergelincir daripada tuntutan Islam.  Bangsa Melayu mesti kembali kepada Islam untuk perpaduan yang sebenar.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

Ruh perpaduan yang kita perlukan ialah ruh yang berpaksi kepada Islam yang sebenar berdasarkan iman dan taqwa.  Ruh perpaduan seperti ini hanya akan menjadi bermakna jika Bangsa Melayu bersatu dengan jujur dan dengan penuh kesedaran untuk bangsa dan agamanya serta negara tercinta, bukan hanya retorik yang menyedapkan hati sahaja.

Tuan-tuan dan Puan-Puan,

Saya mewakili Ahli Jawatankuasa Pengajur iaitu PEMENANG, GABUNGAN dan USM mengucapkan jutaan terima kasih kepada :-

1 ) Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama (Dr) Haji Abdul Rahman Bin Haji Abbas ,Yang DiPertua Negeri Pulau Pinang kerana sudi melancarkan dengan rasminya Forum Pra Kongres ini.

2) Y.A.M Tunku Zain Al- Abidin Tuanku Muhriz Pengerusi Institute For Democracy And Economin Affairs (IDEAS) yang akan meyampaikan ucaptama Forum Pra Kongres ini.

3) Pengerusi-Pengerusi Penal yang budiman

  • Bhg Prof Dr Sohaimi Abdul Aziz – USM
  • Bhg Datuk Zainal Abidin Borhan – Ketua Dua GAPENA

4) Ahli-Ahli Penal yang budiman

  • Bhg Dato’ Seri Dr Md Salleh Yaapar

Pengerusi Lembaga Dewan Bahasa dan Pustaka

  • Bhg Prof Madya Dr Shamrahayu Abdul Aziz

Universiti Islam Antarabangsa

  • Bhg Prof Datuk Dr Abdullah Zakaria

Universiti Malaya

5) Pembaca Puisi

  • Cik Nadhilah Binti Sohaimi dari SMK Dato’ Hj Mohd Noor Ahmad
  • Cikgu Ahmad Ramli.

Dan para tetamu khas dan tuan-tuan yang datang dari jauh dan dekat yang telah menjayakan Forum ini.  Tanpa sokongan tuan-tuan dan puan-puan hasrat murni ini akan tinggal sebagai angan-angan kosong. Terima kasih kepada Khazanah Nasional Berhad dan Think City Sdn Bhd yang telah membantu dengan membiayai perbelanjaan Forum ini. Saya ingin menutup ucapan aluan-aluan ini dengan berpantun:

 

Sekian.

Terima kasih.

Wassalam.

 

Pantun

Forum Pra Kongres berhasrat mulia,
Menghubungkan kita berkasih mesra,
Ikatan Melayu Agenda aulia,
Semoga Negara Aman Sejahtera.

Buluh perindu mengalun lagu,
Bukit Seguntang tinggi mengawan,
Kembalilah bersatu  bangsa Melayu,
Ketepikan perbezaan, eratkan perpaduan.

Terbang burung dari selatan,
Dipuput angin sangar bayu,
Marilah bangsaku kukuh ikatan,
Untuk memperkasa perpaduan Melayu.

Wahai Melayu Bangsaku yang tercinta,
Sedarlah bersatu sesama kita,
Peganglah pedoman madah pendeta,
Biarlah putih tulang janganlah putih mata.

puisi 1
puisi 2


TEKS UCAPTAMA

Ucaptama di dalam Forum Pra Kongres Majlis Muafakatan Melayu Malaysia
Memperingati 70 Tahun Kongres Pertama Kebangkitan Melayu Bersatu Padu

Tunku Zain Al-’Abidin ibni Tuanku Muhriz
Dewan Budaya USM, Pulau Pinang
1 Mac 2016

[Senarai VIP]

Yang Berbahagia Tan Sri2, Puan Sri2, Dato’2, Datin2, Tuan2 dan Puan2

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera

Terima kasih atas pengenalan yang diberikan sebentar tadi. Saya amat berbesar hati atas jemputan dan kesempatan yang diberikan kepada saya untuk berucap pada hari ini. Saya sering menerima banyak jemputan untuk berucap, baik untuk majlis-majlis bersama pelajar, di universiti-universiti, atau majlis anjuran badan-badan kebajikan, pelancaran pameran, dan juga acara kebudayaan. Tetapi saya jarang berucap di majlis sebegini.

Sebenarnya saya memang suka berucap di Pulau Pinang. Ada tiga acara yang masih terpahat dalam ingatan saya.

Pertama ialah di MRSM Kepala Batas pada bulan Februari 2012. Saya dijemput untuk menyampaikan ucapan mengenai Peranan Belia Dalam Agenda Integriti di Malaysia. Saya masih ingat lagi betapa kagumnya saya dengan anak-anak Melayu di dalam sesi dialog yang boleh berbincang dengan penuh keyakinan, berwawasan, dan dengan fikiran yang terbuka. Malahan mereka kelihatan jauh lebih interaktif berbanding pelajar-pelajar yang pernah saya temui di sekolah-sekolah elit.

Kedua ialah pada bulan Disember 2012, dalam satu majlis untuk memperingati Allahyarham Tan Sri P Ramlee. Tan Sri P Ramlee ialah warga Pulau Pinang yang paling saya minati. Saya selalu mengulas tentang kepakaran tinggi beliau bukan sahaja dalam bidang lawak jenaka, malah dalam bidang muzik, lakonan serta pengarahan. Tarikan beliau yang paling istimewa bagi saya ialah kebolehan Allahyarham merakam dan berkongsi hakikat budaya Melayu dengan begitu teliti. Bagi mereka yang segenerasi dengan saya yang tidak membesar bermain congkak, silat, caklempong, boria dan wau, filem-filem Tan Sri P Ramlee-lah yang memperingatkan kita akan kehidupan sebelum era internet.

Ucapan ketiga yang masih saya ingat ialah pada bulan Ogos lepas di Masjid Kapitan Kling. Majlis tersebut merupakan pelancaran satu pameran fotografi anjuran Suruhanjaya Tinggi New Zealand berkaitan sejarah warisan orang Islam di Pulau Pinang, perjalanan mereka untuk datang ke pulau ini dan ke-pelbagai-an asal usul mereka.
Majlis kita hari ini merupakan kesinambungan yang baik daripada ucapan-ucapan saya sebelum ini. Dalam kita memperingati perhimpunan yang berlangsung tujuh puluh tahun yang lalu untuk melakar masa depan bangsa kita, kita harus bertanya apakah kedudukan dan kejayaan yang telah kita capai dalam bidang akademik dan bidang-bidang profesional lain? Bagaimanakah kefahaman kita terhadap budaya kita dan bagaimanakah kita mempromosi budaya itu? Dan bagaimana pula dengan kedudukan agama kita sekarang?

Seperti tuan2 dan puan2, saya juga amat bangga dengan ejarah warisan saya. Walaupun salasilah saya boleh dikesan sehingga ke Sumatra, Siam dan Hadhramaut, pengalaman saya sebagai anak Melayu di Malaysia hari ini memberi keyakinan kepada saya untuk berinteraksi dengan orang lain baik di negara kita ataupun di luar negara. Sebelum ini, semasa saya menetap di London dan di Washington DC, saya sering teringat kepada lomang paneh dan keropok lekor. Sekali sekala saya akan cuba untuk masak sendiri, tapi kadang-kadang tak jadi. Saya pasti bagi Tuan Yang Terutama, nasi kandaq sentiasa di hati. Itulah yang menunjukkan kepelbagaian kita sebagai orang Melayu. Bersekali dengan agama Islam, itulah yang menjadi petunjuk kepada saya dalam menjalani kehidupan seharian.

Tetapi dalam negara kita sekarang, isu identiti sering mencetuskan perbalahan. Sering sekali ada pihak yang mahu memberi definisi identiti orang lain, sehingga ia membawa kepada stereotaip dan juga kegusaran kerana mereka dipaksa membandingkan diri mereka dengan kayu ukur yang ditentukan oleh orang lain. Isu identiti ini juga sering dipolitikkan. Hari ini begitu banyak sekali perkara yang dilakukan atas nama bangsa atau agama. “Kita harus buat begini kerana kita Melayu”. “Kita harus buat begini kerana kita Muslim”.

Adakah ini wajar?

Tuan2 dan Puan2 sekelian,

Mungkin kisah Dato’ Sir Onn Ja’afar boleh menjadi teladan. Hari ini kita memperingati kongres yang beliau anjurkan untuk melawan Malayan Union. Matlamat itu berjaya dicapai dan seterusnya lahirnya sebuah parti politik yang amat berjasa kepada kita. Tetapi kita mesti juga ingat bahawa Dato’ Onn menubuhkan dua lagi parti politik selepas itu.

Dalam parti pertama beliau, Dato’ Onn digantikan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Minggu lepas kami di IDEAS meraikan ulang tahun keputeraan Tunku Abdul Rahman yang ke 113. IDEAS telah dilancarkan oleh Tengku Razaleigh Hamzah pada tahun 2010, dan saya difahamkan bahawa beliau telah memberi ucaptama yang sebegini pada tahun 2008 di mana beliau tela menyatakan: “Selepas kemerdekaan, orang Melayu sanggup bertolak ansur dengan kaum-kaum lain: menerima mereka sebagai rakyat Tanah Melayu, mengajak mereka bersama-sama memerintah negara ini, membenarkan mereka mengekalkan dan mengembangkan bahasa, budaya dan agama mereka asalkan tidak bercanggah dengan apa-apa syarat yang telah diperuntukkan dalam Perlembagaan.”

Kita semua tahu bagaimana Tunku Abdul Rahman telah memberi sokongan yang jitu kepada Ku Li, semasa beliau menyertai Semangat 46, di mana pada waktu itu suasana politik amat tegang – sejarah mungkin berulang! Kami di IDEAS mengutamakan prinsip-prinsip Tunku Abdul Rahman, terutamanya keyakinan Tunku kepada demokrasi dan sikap beliau yang toleran. Inilah sikap yang membolehkan Persekutuan Tanah Melayu mencapai Kemerdekaan.

Parti Dato’ Onn dan Tunku Abdul Rahman telah mengorak langkah ke hadapan dengan menukar seruan mereka daripada “Hidop Melayu” kepada “Merdeka”. Tunku juga berulang kali memenuhi visi beliau untuk tanah air kita sebagai sebuah negara yang merdeka. Kesungguhan Tunku telah menanamkan semangat optimis yang dikongsi oleh seluruh warga Malaya, bukan sebahagian sahaja. Tunku berjaya membawa kesatuan yang tidak pernah dilihat di Malaya sebelum itu, baik semasa zaman British mahupun semasa keganasan komunis. Pemimpin terdahulu membawa kejayaan dengan menyeru kepada perpaduan.

Tetapi hari ini, segelintir ahli politik mencapai kejayaan dengan cara membawa perpecahan. Mereka mungkin bercakap mengenai perpaduan tetapi hakikatnya mereka membawa mesej yang boleh melaga-lagakan sesama kita. Malangnya, mereka tidak lagi berpegang kepada prinsip.

Mungkin apa yang berlaku pada tahun 1946 telah menyebabkan apabila kita berbicara mengenai perpaduan pada hari ini, kita terus terfikir mengenai perpaduan politik. Seolah-olah perpaduan hanya akan tercapai jika kita mengundi satu parti yang sama, atau menyokong seorang tokoh politik sahaja.

Tetapi hakikatnya persaingan dan perbezaan politik bukan bermaksud perpecahan. Lihat sahaja di negara seperti Jepun, Indonesia, Mongolia atau Tunisia. Rakyat yang sebangsa boleh sahaja bersaing dalam arena politik. Di sana, politik tidak didominasi oleh isu kaum dan agama. Tetapi mereka berdebat mengenai dasar-dasar awam seperti pendidikan, kesihatan, pengangkutan dan ekonomi, bagaimana perkhidmatan boleh disediakan.

Dalam negara demokrasi sebenar, perbezaan pandangan dan perbezaan sikap mengenai bagaimana untuk mentadbir negara adalah biasa. Tetapi mereka tidak lah pula sampai berbunuh-bunuhan. Mereka mengiktiraf perlembagaan dan di sana wujud kestabilan politik. Dan mereka bersatu dibelakang simbol-simbol yang tiada kena-mengena dengan politik seperti Maharaja, lagu kebangsaan, bendera, dan adat resam. Di Malaysia, kita mewarisi institusi Raja, Yang di-Pertua Negeri, dan Yang di-Pertuan Agong yang turut boleh menjadi fokus penyatuan di peringkat negeri dan negara, baik bagi orang Melayu mahupun bukan Melayu.

Tetapi ada sesetengah ahli politik yang tidak menghiraukan elemen perlembagaan ini. Mereka mendakwa bahawa hanya parti politik mereka sahajalah yang boleh menyatukan rakyat. Dan mereka menjadikan dakwaan itu sebagai agenda utama, sehingga pencurian, rasuah dan penyelewengan pun mahu disembunyikan.

Jika kita mahu menjadikan demokrasi di Malaysia ini selaras dengan apa yang diimpikan semasa Merdeka, maka kita wajib keluar daripada mentaliti kepartian itu dan menerima bahawa persaingan politik adalah satu perkara yang sihat. Ia tidak seharusnya mencairkan kesetiaan kita kepada Raja, negara dan adat resam yang kita warisi. Sepertimana Dato’ Onn sendiri telah menyatakan 70 tahun lalu hari ini: “Sungguhpun ada di antara kita yang berlain-lainan fikiran dan faham serta berlain-lainan taraf dan kedudukan kita tetapi hakikat tujuan dan maksud kita hanya satu jua; iaitu kita hendak meninggikan dan memlihara maruah serta kesopanan bangsa kita.”

Tuan2 dan Puan2,

Jika di lihat sejarah kita, maka kita pasti sedar bahawa sebenarnya kita telah pun mengharungi satu perjalanan yang jauh. Lima puluh generasi dahulu nenek moyang kita mungkin pernah bunuh-membunuh sesama mereka kerana agama. Malahan, lima generasi dahulu pun datuk datuk kita pernah berperang atas nama identiti mereka sebagai orang Bugis, Jawa atau Minang. Pernah juga berlaku perang saudara dalam negeri-negeri kita, dan juga pelbagai pakatan yang dibentuk dengan pelbagai kuasa Eropah. Tetapi kita telah berjaya mengatasi semua itu demi mencapai kemerdekaan. Dan kita mesti meneruskan perjalanan kita dengan semangat yang sama semasa Merdeka dahulu jika kita mahu berjaya dalam dunia global ini.

Ya, memanglah semua episod sejarah yang pernah kita lalui tidak wajar kita lupakan. Dengan mengingati sejarah, kita boleh belajar bagaimana untuk mencapai kehebatan yang pernah kita miliki satu masa dulu. Tetapi malangnya ada di antara kita yang melihat ke belakang tanpa mempelajari apa-apa. Contohnya, setiap orang Melayu pasti bangga mengenangkan Zaman Kegemilangan Kesultanan Melaka. Tetapi tidak ramai yang bertanya bagaimana Melaka mencapai kegemilangan tahap itu, sedangkan ianya amat penting untuk kita semua pelajari. Apa yang menjadikan tadbir urus Melaka pada masa itu amat cemerlang? Antara sebabnya termasuklah kedaulatan undang-undang yang utuh di bawah Undang-Undang Melaka dan Undang-Undang Laut Melaka. Kesultanan Melaka juga mengamalkan dasar perdagangan bebas dan kadar cukai yang rendah yang berjaya menarik pedagang dan golongan cendekiawan dari seluruh dunia. Malahan Kesultanan Melaka juga mempunyai institusi-institusi yang berfungsi dengan baik, serta memberikan rakyat keyakinan untuk menjalankan perniagaan dan menerima keadilan.

Penting juga untuk disebut mengenai peranan tokoh teladan. Saya telah menyebut tadi mengenai Tan Sri P Ramlee, Dato’ Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman. Antara tokoh-tokoh yang lain kita juga mempunyai Hang Tuah dan Yam Tuan Antah, Che Siti Wan Kembang dan Tun Teja, Munshi Abdullah dan Za’aba, Puan Sri Saloma dan Dato’ Zainal Alam yang terkenal dengan senikata lagu Undilah di mana beliau menyanyikan “Undilah chalon yang tuan sukai”. Ya, beliau kata “chalon” dan bukan “parti”.

dan ramai lagi. Kisah mereka mesti dikongsi dengan golongan muda agar ketokohan mereka boleh diteladani.

Bagaimanapun kita juga mestilah berfikiran secara realistik. Cuba sahaja melamani Facebook atau Instagram dan tuan2 akan dapat lihat siapa yang dijadikan “role model” oleh golongan muda kita hari ini. Kebanyakannya adalah artis-artis. Tetapi kini ada perkembangan yang positif kerana telah ada ikon-ikon baru yang dijadikan teladan oleh golongan muda.

Ya, memang benar pelakon dan penyanyi pasti akan terus popular. Tetapi disebalik nama popular seperti Shaheizy Sam, Nora Danish, Yuna dan Waghih, kita kini mempunyai pemain piano terkemuka seperti Tengku Ahmad Irfan yang sering menghiburkan peminat muzik klasik. Chef Wan merupakan chef yang telah sedia terkenal tetapi pertandingan Masterchef kini telah melahirkan nama baru seperti Nik Michael Imran. Personaliti sukan seperti Jazeman Jaafar, Farah Ann Abdul Hadi dan penyerang Pulau Pinang Faiz Subri kini menjadi inspirasi masyarakat terbanyak yang tidak terhad kepada para peminat sukan mereka sahaja. Malahan melalui Persatuan Skuasy Malaysia saya sendiri melihat begitu ramai pemain baru yang datang dari kampung-kampung dan mereka ini mempunyai potensi untuk bertanding di peringkat antarabangsa.

Dalam bidang sains angkasawan negara Sheikh Muszaphar Shukor kekal sebagai ikon, dan kini calon doktor falsafah Hafizah Noor Isa juga telah menjadi sumber inspirasi apabila dia menjadi salah seorang ahli kumpulan penyelidik yang membuktikan Teori Gelombang Graviti Einstein. Ramai juga anak-anak muda yang menjadi usahawan yang berjaya dan mereka memimpin keusahawanan sosial yang memberi sumbangan kepada masyarakat. Begitu juga dalam bidang agama. Seperti imam-imam muda yang turut jadi role model dan juga di peringkat antarabangsa seperti Dato’ Dr Afifi Al-Akiti yang kini berada di Pusat Oxford untuk Pengajian Islam.

Sudah pastilah semua nama-nama tadi mempunyai perspektif yang berbeza mengenai kehidupan. Mereka mungkin tidak memperjuangkan agenda Melayu secara terbuka tetapi hakikatnya merekalah yang menjadi sumber inspirasi generasi akan datang.

Mereka yang kini memegang tampuk kuasa harus berkeyakinan untuk membebaskan golongan muda agar generasi muda boleh membentuk masa depan bangsa kita. Ini sahajalah yang boleh menyelesaikan krisis keyakinan diri dan kepercayaan dalam kalangan generasi muda”, yang telah dibentangkan di dalam kertas kerja kongres ini.

Dalam saya menyebut senarai nama sebentar tadi, tuan2 mungkin nampak bahawa saya tidak menyebut nama mana-mana ahli politik. Ini kerana kalau saya menyebut satu nama, akan ada pula yang bertanya kenapa tidak sebut nama yang lain? Tetapi izinkan saya menutup ucapan ini dengan memetik kata-kata Tun Musa Hitam dalam ucapan beliau di majlis anjuran IDEAS minggu lepas. Tun Musa berucap mengenai peri pentingnya membentuk barisan pemimpin pelapis, bukan pengikut membuta tuli. Kata Tun Musa: “Apabila seseorang pemimpin menjulang dirinya dan menuntut ketaatan membuta tatkala tindakannya menyebabkan hilangnya tadbir urus yang baik, hak asasi manusia, kedaulatan undang-undang dan tidak memperdulikan kebajikan rakyat, maka nantikanlah kedatangan kediktatoran.”

Saya suka menekankan bahawa apabila kita bercakap mengenai pemimpin pelapis, kepimpinan itu boleh wujud dalam pelbagai bidang, bukan politik sahaja.

Nenek moyang kita menolak Malayan Union tujuh pulah tahun lalu kerana ia adalah satu bentuk kediktatoran. Hari ini kita mesti menentang kejahilan dan paranoia dalam diri kita sendiri. Dato’ Laksamana Hang Tuah pernah berkata “Takkan Melayu Hilang di Dunia”. Sesungguhnya jika kita berterusan merasa tidak selamat seolah-olah kita sentiasa diancam dalam dunia ini, selagi itulah kita akan terus jauh dari maksud yang cuba disampaikan oleh kata-kata keramat itu.

Sekian terima kasih, wabilahi taufiq walhidayah, wassalam’ualaikum warahmatullahi wabarakatuh

KOLEKSI GAMBAR

Leave a Reply