Peraturan Tabung Biasiswa

Peraturan-Peraturan Tabung Biasiswa
Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG)

 

1. Nama

Peraturan-peraturan ini dinamakan “Peraturan-Peraturan Tabung Biasiswa Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG)” dan disebut sebagai “Tabung Biasiswa PEMENANG”.

2. Alamat

Alamat atau pejabat Tabung Biasiswa PEMENANG ialah Persatuan Melayu Pulau Pinang, Bangunan PEMENANG, No. 60, Jalan Cantonment, 10250 Pulau Pinang.

3. Tafsiran atau Makna Perkataan

3.1 “Persatuan” ialah Persatuan Melayu Pulau Pinang atau nama ringkasnya PEMENANG.

3.2 “Tabung Biasiswa” ialah kumpulan wang yang diwujudkan untuk tujuan-tujuan yang dipertetapkan.

3.3 “Biasiswa” ialah biasiswa yang dikeluarkan oleh Persatuan ini iaitu bantuan penuh atau sebahagian biasiswa yang diberi oleh Persatuan dengan percuma.

3.4 “Jawatankuasa Persatuan” ialah Jawatankuasa Persatuan Melayu Pulau Pinang.

3.5 “Jawatankuasa Tabung Biasiswa” ialah jawatankuasa yang dipilih oleh Jawatankuasa Persatuan untuk mentadbir Tabung Biasiswa.

3.6 “Jawatankuasa Pemilih”, ialah jawatankuasa yang ditugas untuk memilih pelajar untuk menerima biasiswa.

3.7 “Presiden”, “Setiausaha”, “Bendahari”, “Pemeriksa Kira-Kira”, Ahli-Ahli ialah jawatan-jawatan dan Ahli-ahli Persatuan.

3.8 “Institusi Pengajian Tinggi” ialah Universiti-Universiti atau mana-mana Institusi Pengajian Tinggi yang menganugerahkan ijazah yang diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia sama ada di dalam ataupun di luar negara Malaysia.

3.9 “Kursus” ialah bidang pengajian yang ditetapkan oleh Institusi Pengajian Tinggi.

3.10 “Pelajar” ialah pelajar yang menerima biasiswa Persatuan.

4. Tujuan

Tujuan Tabung Biasiswa PEMENANG ialah untuk mewujudkan satu kumpulan wang bagi tujuan memberi biasiswa kepada pelajar-pelajar Melayu warganegara Malaysia, andak keturunan Melayu Pulau Pinang untuk melanjutkan pengajian di Institusi Pengajian Tinggi.

5. Kumpulan Wang

5.1 Kumpulan wang bagi Tabung Biasiswa ini akan diperolehi pada permulaannya daripada wang Persatuan dengan persetujuan Jawatankuasa Persatuan.

5.2 Tabung Biasiswa ini boleh menerima sebarang derma atau hadiah daripada mana-mana individu atau syarikat sama ada dalam bentuk wang, tanah, bangunan, rumah dan apa jua jenis harta lain.

5.3 Sejumlah 30% daripada jumlah kumpulan wang ini bolehlah dijadikan sebagai modal asas dan dilaburkan. Modal asas ini boleh juga digunakan untuk mencari keuntungan dengan cara membeli sebarang harta, tanah, rumah dan apa jua jenis harta yang lain yang difikir sesuai oleh Persatuan. Tabung Biasiswa ini mestilah menggunakan sekurang-kurangnya 70% daripada pendapatan dan derma yang diterimanya untuk tujuan Tabung Biasiswa seperti yang telah ditetapkan.

5.4 Perolehan yang didapati daripada harta-harta yang disebutkan dalam ceraian-ceraian 5.2 dan 5.3 di atas hendaklah dimasukkan ke dalam kira kira Tabung Biasiswa ini sahaja.

5.5 Lembaga Pemegang Amanah Tabung Biasiswa ini hendaklah dilantik di dalam Mesyuarat Agung Persatuan dan bilangannya tidak melebihi 8 orang. Sekurang-kurangnya 50% daripada Ahli Lembaga Pemegang Amanah ini hendaklah terdiri daripada yang bukan Ahli Persatuan Melayu Pulau Pinang dan semua harta yang tidak boleh berubah pindah, bond-bond atau saham-saham yang dipunyai oleh Tabung Biasiswa ini hendaklah dinamakan atas nama Pemegang Amanah.

6. Pentadbiran Kewangan

6.1 Kumpulan Wang Tabung Biasiswa ini akan ditadbir oleh Jawatankuasa Tabung Biasiswa dan diasingkandaripada kira-kira Persatuan.

6.2 Kumpulan Wang Tabung Biasiswa ini hendaklah disimpan di dalam Bank yang dipersetujui oleh Persatuan dengan diberi nama “Tabung Biasiswa Persatuan Melayu Pulau Pinang”.

6.3 Semua wang yang diterima hendaklah dimasukkan ke dalam Bank tidak lewat daripada 48 jam selepas diterima kecuali kerana hari-hari kelepasan am.

6.4 Kumpulan Wang Tabung Biasiswa ini hanya boleh dikeluarkan bagi tujuan memberi Biasiswa dan lain-lain perbelanjaan yang berkaitan dengan pentadbiran Tabung Biasiswa ini sahaja dengan kebenaran Jawatankuasa Tabung Biasiswa.

6.5 Sebarang pengeluaran wang daripada Kumpulan Wang Tabung Biasiswa yang melebihi RM100.00 (Satu Ratus Ringgit Malaysia) hendaklah dibuat dengan cek. Sebarang cek yang dikeluarkan hendaklah ditandatangani oleh Presiden, Bendahari dan seorang Ahli Jawatankuasa Tabung Biasiswa.

6.6 Kira-kira wang Tabung Biasiswa ini hendaklah disimpan dan diselenggarakan oleh Bendahari seperti kira-kira Persatuan.

6.7 Penyata kira-kira wang Tabung Biasiswa hendaklah diaudit oleh Juru Audit bertauliah dan sesalinan penyata tersebut dikemukakan kepada Ketuan Pengarah Hasil Dalam Negeri di Ibu Pejabat, Kuala Lumpur.

6.8 Penyata kira-kira wang Tabung Biasiswa ini hendaklah disediakan berasingan untuk disahkan di dalam Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan.

7. Pentadbiran Tabung Biasiswa

7.1 Tabung Biasiswa ini akan ditadbir oleh Jawatankuasa Biasiswa seramai 7 orang termasuk Bendahari Persatuan yang dilantik tiap-tiap 2 tahun dalam Mesyuarat Jawatankuasa Persatuan.

7.2 Bendahari Persatuan dengan sendiri akan menjadi Bendahari kepada Tabung Biasiswa

7.3 Pengerusi dan Setiausaha Jawatankuasa Tabung Biasiswa akan dilantik di antara Ahli-Ahli Jawatankuasa Tabung Biasiswa di dalam mesyuarat yang pertama Jawatankuasa Tabung Biasiswa.

7.4 Pentadbiran Tabung Biasiswa tidak akan dipengaruhi oleh mana-mana pihak atau kumpulan tertentu untuk kepentingan masing-masing.

8. Hadiah Biasiswa

8.1 Hadiah Biasiswa akan dikeluarkan pada masa yang ditentukan oleh Jawatankuasa Tabung Biasiswa mengikut keadaan Kumpulan Wang Tabung Biasiswa setelah disahkan oleh Jawatankuasa Persatuan.

8.2 Jumlah hadiah Biasiswa yang dikeluarkan akan ditentutkan oleh Jawatankuasa Tabung Biasiswa pada kadar yang mencukupi bagi seorang pelajar menamatkan pengajiannya sehingga mendapat ijazah.

9. Kewajipan dan Tugas-Tugas Jawatankuasa Tabung Biasiswa

 9.1 Menjalankan kerja-kerja mengikut Peraturan-Peraturan Tabung Biasiswa ini.

9.2 Menentukan tarikh, bilangan dan nilai biasiswa yang hendak dikeluarkan dari satu masa ke satu masa menurut kedudukan kewangan Tabung Biasiswa

9.3 Menyedia dan menguruskan Borang Perjanjian Biasiswa seperti dalam Jadual Pertama di antara pelajar yang dihadiahkan Biasiswa dengan Persatuan.

9.4 Berkuasa memberhentikan sesuatu hadiah biasiswa yang diluluskan manakala didapati seseorang pelajar lemah dalam pengajiannya atau menyalahi syarat-syarat yang terkandung dalam Perjanjian seperti dalam Jadual Pertama dan lain-lain yang boleh mencacatkan nama baik Biasiswa ini.

9.5 Menyambung masa dan tambahan wang Biasiswa kepada seseorang pelajar tidak lebih daripada dua kali sekiranya munasabah untuk menamatkan pengajiannya dengan kebenaran Mesyuarat Jawatankuasa Persatuan.

9.6 Menyediakan Penyata Tahunan perjalanan Tabung Biasiswa yang berakhir 31 Disember tiap-tiap tahun.

10. Perlantikan, Tugas dan Kuasa-Kuasa Jawatankuasa Pemilih

10.1 Jawatankuasa Pemilih hendaklah dilantik oleh jawatankuasa Tabung Biasiswa dan keahliannya tidak melebihi 3 orang.

10.2 Jawatankuasa ini bertugas menjalankan pemilihan pelajar-pelajar sama ada dengan menggunakan ujian bertulis atau lisan atau kedua-duanya, perjumpaan atau temuduga dengan lain-lain cara yang seumpamanya dan memperakukan jurusan/bidang pengajian yang akan dihadiahkan biasiswa.

10.3 Menjalankan tugas-tugas lain apabila dikehendaki.

11. Mesyuarat Jawatankuasa Tabung Biasiswa

11.1 Mesyuarat Jawatankuasa Tabung Biasiswa hendaklah diadakan sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh 3 bulan atau pada bila-bila masa yang difikirkan perlu.

11.2 Mesyuarat-mesyuarat Jawatankuasa Tabung Biasiswa hanya sah dijalankan apabila dihadiri oleh sekurang-kurangnya lima orang ahli.

11.3 Semua keputusan Mesyuarat Jawatankuasa hendaklah mengikut bilangan lebih suara.

12. Dakwaan

Keputusan Jawatankuasa Tabung Biasiswa adalah muktamad setelah ianya disahkan oleh Jawatankuasa Persatuan dan pelajar tidak boleh mengemukakan sebarang tuntutan dalam mana-mana Mahkamah pun.

13. Cara Permohonan Biasiswa

Permohonan untuk mendapatkan Biasiswa hendaklah dibuat dengan menggunakan Borang seperti dalam Jadual Kedua dan diserahkan kepada Setiausaha Jawatankuasa Tabung Biasiswa bersama-sama dengan dokumen-dokumen seperti yang dikehendaki.

14. Syarat-Syarat Pemohon

14.1 Pemohon mestilah berbangsa Melayu warganegara Malaysia anak keturunan Melayu Pulau Pinang dan mempunyai kelayakan seperti yang disyaratkan oleh Institusi-institusi Pengajian Tinggi di mana pelajar berkenaan akan menuntu.

14.2 Biasiswa hanya akan dikeluarkan setelah pelajar berkenaan diterima masuk belajar di Institusi berkenaan dan menandatangani Perjanjian beserta dengan 2 orang penjaminnya.

15. Pengakuan Pelajar

15.1 Seseorang pelajar yang telah dipilih hendaklah mendapat Surat Akuan Doktor Kerjaan atau mana-mana Doktor yang diakui oleh Jawatankuasa Tabung Biasiswa yang mengesahkan bahawa ianya sihat bagi melayakkan dirinya menuntut kursus yang dicadangkannya.

15.2 Pelajar berkenaan dikehendaki menantangani Borang Perjanjian seperti dalam Jadual Pertama dan membayar sebarang cukai setem yang dikenakan.

15.3 Pelajar hendaklah berjanji yang beliau akan belajar bersungguh-sungguh dalam bidang Kursus yang dipersetujui oleh Jawatankuasa Tabung Biasiswa dan Jawatankuasa Pemilih sehingga tamat.

15.4 Tidak boleh menukar bidang Kursus yang dipelajari tanpa izin Jawatankuasa Tabung Biasiswa

15.5 Tidak boleh berkahwin dalam masa pengajiannya kecuali dengan kebenaran Jawatankuasa Tabung Biasiswa.

15.6 Tidak boleh melawat negara-negara yang tidak dibenarkan oleh Kerajaan Malaysia.

15.7 Mesti pulang ke Malaysia apabila tamat pengajian dan bekerja di Malaysia.

15.8 Membuat pengakuan sanggup membayar balik semua perbelanjaan yang telah dikeluarkan apabila pelajar berkenaan menyalahi Peraturan-Peraturan Biasiswa ini atau melanggar syarat-syarat perjanjian yang telah dibuat di antaranya dengan Persatuan.

15.9 Membuat pengakuan boleh didakwa mengikut Undang-undang sekiranya mengingkari ceraian 15.8

16. Perjanjian

16.1 Dalam Perjajian antara pelajar dengan Persatuan, pelajar hendaklah menjadi Pihak Yang Pertama, Persatuan menjadi Pihak Yang Kedua dan Penjamin-Penjamin menjadi Pihak Yang Ketiga.

16.2 Cop mohor Persatuan hendaklah digunakan bagi tiap-tiap perjanjian dengan disaksikan oleh tandatangan 2 orang lain.

17. Pecah Amanah

Sekiranya berlaku sesuatu perkara pecah amanah ke atas Wang Tabung Biasiswa ini oleh kerana orang lain daripada Pegawai atau Ahli Jawatankuasa Tabung Biasiswa dan telah dijalankan siasatan yang teliti dan cermat terbukti kesalahannya, maka Jawatankuasa Tabung Biasiswa hendaklah mengambil tindakan undang-undang terhadapnya. Sekiranya pecah amanah itu dilakukan oleh salah seorang atau semua Ahli Jawatankuasa Tabung Biasiswa atau Jawatankuasa Pemilih, Jawatankuasa Persatuan hendaklah mengambil langkah yang munasabah menurut undang-undang.

18. Salah Faham

Jika berbangkit sebrang perselisihan pendapat atau salah faham berkenaan dengan huraian dalam Peraturan-peraturan ini, perkara tersebut hendaklah dirujuk kepada Jawatankuasa Persatuan dan keputusan Jawatankuasa Persatuan adalah muktamad kecuali dibatalkan oleh Mesyuarat Agung Persatuan.

19. Pindaan

Sebarang pindaan kepada Peraturan ini hendaklah mendapat resolusi Jawatankuasa Persatuan dan diputuskan dalam Mesyuarat Agung Persatuan. Pindaan-pindaan tersebut hanya boleh berkuatkuasa selepas mendapat persetujuan Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri Malaysia.

20. Pemansuhan

Peraturan-peraturan Tabung Biasiswa ini tidak boleh dimansuhkan melainkan dengan cadangan dalam Mesyuarat Agung Persatuan dan jika Tabung Biasiswa ini dimansuhkan, semua harta serta tanggungan Tabung Biasiswa ini hendaklah diletakkan di bawah tanggungjawab Persatuan.

Leave a Reply