Biodata Presiden

Biodata Presiden
Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG)

gambar datuk seriYBhg. Tan Sri Dato’ Seri Haji Mohd Yussof Latiff
PSM, DGPN, DSPN, DJN, KMN, AMN, PPN, JP

Presiden
Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG)
(1984 – sekarang)


Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ Seri Haji Mohd Yussof Latiff telah dilahirkan pada 11 Ogos 1930 di Pulau Pinang dan kini berusia 85 tahun. Beliau merupakan anak yang kelima daripada tujuh orang adik beradik. Mendapat pendidikan awal di sekolah Melayu Chowrasta dan sekolah Inggeris, dan telah berumah tangga pada tahun 1958 dengan Yang Berbahagia Datin Hajjah Aishah Bt Ismail dan dari perkahwinan ini telah dikurniakan seramai 4 orang anak, iaitu dua orang lelaki dan dua perempuan. Keempat-empat orang anaknya masing-masing telah berumah tangga.

     Beliau adalah seorang yang aktif sejak zaman remaja sehingga kini, dengan menjawat perbagai jawatan penting dalam pertubuhan sukarela, masyarakat, sukan dan juga aktif dalam bidang politik. Beliau telah memulakan kariernya sebagai ahli perniagaan sejak tahun 1960an dan hasil dari usaha gigih, beliau kini telah berjaya menjadi seorang ahli korporat yang terkenal di Pulau Pinang.

    Beliau mula melibatkan diri secara aktif dalam politik mulai 1947. Pada tahun 1964 beliau telah dilantik sebagai Setiausaha Politik yang pertama kepada Ketua Menteri Pulau Pinang (Y.A.B. Tan Sri Wong Pow Nee) dan memegang jawatan tersebut sehingga tahun 1969. Beliau juga pernah memegang jawatan Setiausaha Parti Perikatan Pulau Pinang dan beberapa jawatan penting dalam pertubuhan UMNO Pulau Pinang.

     Bersama Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG), beliau telah melibatkan diri secara aktif sejak tahun 1960 lagi hinggalah sekarang. Beliau merupakan penggerak utama dalam segala kegiatan PEMENANG, sebagai aktivis kebudayaan dan kesenian Melayu, serta aktivis masyarakat. Beliau telah memegang jawatan Presiden PEMENANG semenjak 1984 hingga sekarang.

    Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG) dibawah kepimpinan Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ Seri telah menjadi sebuah persatuan yang terkenal dan berani menyuarakan pekara-pekara kepentingan Melayu khususnya di Pulau Pinang ini.

     Sebagai Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG), beliau telah mengasaskan penubuhan Tabung Biasiswa Kenangan PEMENANG sempena ulang tahun yang ke 70 PEMENANG dan berjaya mengumpul lebih dari RM 600,000/=.  Biasiswa Kenangan PEMENANG ini dianugerahkan kepada anak-anak Melayu kelahiran Negeri Pulau Pinang yang cemerlang dan layak untuk dipertimbangkan.

     Beliau turut mengasaskan dan menubuhkan sebuah Syarikat di bawah naungan PEMENANG, iaitu Syarikat PIEMPIPI Pemenang Berhad yang kini mempunyai Modal Berbayar sebanyak RM 550,000/= untuk pembangunan hartanah bagi kepentingan orang-orang Melayu Pulau Pinang.

     Sebuah Bangunan setinggi 8 tingkat akan menjadi keyataan dan dibangunkan di Jalan Argyll Pulau Pinang dengan kerjasama Amanah Raya Berhad dalam masa terdekat.

    Mencadangkan supaya Anugerah-Anugerah Kenangan kepada Tokoh-Tokoh Masyarakat yang diiktiraf dan dikenang. Anugerah ini telah bermula semenjak 25 tahun yang lalu sempena sambutan Awal Muharram (Maal Hijrah) dan diteruskan hingga hari ini.

     Mengasaskan penubuhan Ikatan Kelab-Kelab Melayu Negeri Pulau Pinang (IKATAN) yang bertujuan supaya seluruh Kelab-Kelab dan Persatuan-Persatuan Melayu di Negeri Pulau Pinang berada di bawah “satu payung”.

    Mengasaskan penubuhan Gabungan Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Melayu Negeri Pulau Pinang (GABUNGAN) yang bertujuan supaya ia menjadi satu “payung” kepada kegiatan-kegiatan kebudayaan dan kesenian Melayu Pulau Pinang.

     Sebagai Presiden PEMENANG, beliau telah mengasaskan penubuhan Majlis Perundingan Muhibbah Negeri Pulau Pinang yang dianggotai oleh sejumlah 16 buah Persatuan Etnik Komuniti Negeri Pulau Pinang yang merupakan Majlis Perundingan Muhibbah Negeri yang julung-julung diujudkan atas inisiatif Persatuan-Persatuan Bukan Kerajaan (NGO) bertujuan dan bermatalamat untuk mengiratkan perasaan kasih mesra dan Muhibbah di antara rakyat berbilang kaum di Negeri Pulau Pinang supaya hidup dalam aman damai.

     Beliau turut mengasaskan penubuhan Kelab Peminat P.Ramlee di Pulau Pinang.

     Beliau telah melibatkan diri dengan Persekutuan Kebajikan Anak-Anak Yatim Islam Pulau Pinang sejak tahun 1960. Beliau telah memegang jawatan Yang Di Pertua Persekutuan Kebajikan Anak-Anak Yatim Islam Pulau Pinang semenjak 1980 hingga sekarang. Beliau juga memegang Jawatan Naib Presiden Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Malaysia (PEYATIM) sejak tahun 1994 hinggalah sekarang.

     Beliau juga kini menjadi Yang di Pertua (YDP) Persatuan Qaryah-Qaryah Masjid Negeri Pulau Pinang, jawatan yang dipegang oleh beliau semenjak tahun 1999. Persatuan ini adalah menjadi badan induk kepada hampir 200 buah masjid qaryah dan beratus-ratus surau yang wujud di Negeri Pulau Pinang.

     Sebagai YDP Persatuan Qaryah-Qaryah Masjid Negeri Pulau Pinang, beliau telah mengasaskan penubuhan Dana Amal Jariah bagi mengutip derma dari orang perseorang dan Badan-Badan Korparat bertujuan membeli hartanah bagi membantu orang-orang Islam yang miskin dan daif.

    Dalam bidang sukan pula, beliau telah berkecimpung dan terlibat secara aktif dalam berbagai-bagai Persatuan Sukan Tanah Air dengan memegang jawatan-jawatan penting. Beliau telah mewakili negara dalam beberapa persidangan sukan antarabangsa di luar negara.

     Beliau juga telah mengasas penubuhan Persatuan Sepak Raga (Sepak Takraw) Negeri Pulau Pinang pada tahun 1956 dengan memegang jawatan Setiausaha Persatuan tersebut pada tahun 1958 hingga 1966 dan seterusnya menjadi Presiden Persatuan hingga 1988.

     Beliau telah mengasas dan menubuhkan Persekutuan Sepak Raga Persekutuan Tanah Melayu Pada tahun 1960 dengan menjadi setiausaha Agong Persatuan yang pertama serta menganjurkan Pertandingan Sepak Raga (Sepak Takraw) Peringkat Kebangsaan PIALA EMAS KHIR JOHARI.

    Sebagai seorang ahli pernigaan yang berjaya, beliau kini diberi tanggungjawab memegang jawatan Pengerusi Perdagangan Islam Malaysia Cawangan Negeri Pulau Pinang dan Penasihat Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) sekarang.  

     Tan Sri Dato’ Seri Haji Mohd Yussof Latiff telah dipilih dan dianugerah sebagai Tokoh Warga Emas Daerah Timur Laut, Pulau Pinang pada tahun 2000 dan seterusnya dianugerah sebagai Tokoh Warga Emas Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 2000.

     Sempena Sambutan Maal Hijrah 1426(H) / 2005 (M), peringkat Negeri Pulau Pinang, Y.Bhg Tan Sri Dato’ Seri Haji Mohd Yussof Latiff telah dianugerahkan sebagai Tokoh Maal Hijrah oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang, iaitu Anugerah Tertinggi Negeri Pulau Pinang Sempena sambutan Maal Hijrah sebagai menghargai sumbangan, jasa dan perkhidmatan beliau dalam kerja-kerja kebajikan dan kemasyarakatan khususnya di Negeri Pulau Pinang selama hampir 50 tahun.

    Beliau telah dianugerahkan sebagai Tokoh Kemerdekan Negara 2011 oleh Kerajaan Persekutuan yang telah disampaikan oleh Y.A.B Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia dan sebagai Tokoh Budaya GAPENA sempena 40 tahun GAPENA yang telah disampaikan oleh Y.A.B Tan Sri Dato’ Muhyiddin bin Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia baru-baru ini.

    Sebagai menghargai sumbangan dan jasa-jasa beliau terhadap masyarakat dan Negara, Y. Bhg. Tan Sri Dato’ Seri Haji Mohd Yussof Latiff telah dianugerahkan beberapa darjah dan bintang kebesaran Negeri dan Persekutuan. 

  1. Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) – 2014 yang membawa gelaran Tan Sri
  2. Darjah Gemilang Pankuan Negeri (DGPN) – 2005 yang membawa gelaran Dato’ Seri.
  3. Pingat Pangkuan Negara (PPN) – 1995
  4. Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN) – 1985 yang membawa gelaran Dato’
  5. Darjah Johan Negeri (DJN) – 1983
  6. Kesatria Mangku Negara (KMN) – 1980
  7. Jaksa Pendamai (JP) – 1980 (Kerajaan Pulau Pinang)
  8. Ahli Mangku Negara (AMN) – 1978

Beliau berkata,

“Selagi Allah S.W.T. memberikan kekuatan dan tenaga serta kesihatan yang baik, selagi itulah saya akan memberi sumbangan serta kebajikan terhadap masyarakat dan negara”.