Tentang PEMENANG

Tentang PEMENANG

Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG) diasaskan pada 27 Mac 1927 dengan nama Penang Malay Association (P.M.A). PEMENANG sejak penubuhannya hingga kini telah menjadi suara bangsa Melayu Pulau Pinang. Urusan pentadbiran dan kegiatan PEMENANG dijalankan di Bangunan PEMENANG, No. 60, Jalan PEMENANG, 10250 Pulau Pinang sejak tahun 1994. Sebahagian daripada Jalan Cantonment (Jalan Kelawei hingga Persiaran Gurney) telah ditukar kepada Jalan PEMENANG pada tahun 1997, oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang. PEMENANG juga memiliki sebuah bangunan 3 setengah tingkat yang dikenali sebagai Bangunan Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG) di Jalan Macalister, Pulau Pinang, yang kini disewakan untuk perniagaan.

     PEMENANG selaku badan induk telah menaja penubuhan beberapa pertubuhan, majlis, persatuan dan kelab bagi memperkasakan usaha membela nasib bangsa Melayu seperti berikut:

  1. Majlis Perundingan Muhibbah Negeri Pulau Pinang (MPMNPP)
  2. Ikatan Kelab-Kelab Melayu Negeri Pulau Pinang (IKATAN)
  3. Gabungan Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Melayu Negeri Pulau Pinang (GABUNGAN)
  4. Kelab Peminat P. Ramlee Pulau Pinang (KPPRPP)
  5. Pertubuhan Amanah Warisan Melayu Pulau Pinang (PEWARIS)
  6. Persatuan Kebajikan Anak-Anak Miskin Islam Pulau Pinang (PEKAMI)

     PEMENANG sentiasa giat menganjurkan pelbagai majlis, acara, program dan aktiviti kemasyarakatan dan keagamaan yang diadakan setiap tahun. PEMENANG turut mengadakan majlis atau program khas bagi tujuan tertentu atau sempena peristiwa tertentu yang berhubung kait dengan tujuan dan matlamat perjuangan PEMENANG. PEMENANG juga turut aktif menganjurkan pelbagai majlis dan program yang dilaksanakan melalui pertubuhan-pertubuhan, persatuan-persatuan, dan kelab-kelab yang berada di bawah naungan PEMENANG atau mendapat tajaan PEMENANG. Antara majlis-majlis dan program-program yang diadakan ialah seperti berikut:

  1. Larian Perpaduan
  2. Majlis Jamuan Makan Malam Silaturahim Sempena Sambutan Hati Raya Aidilfitri
  3. Majlis Qurban PEMENANG
  4. Majlis Tahlil Sempena Menyambut Ulang Tahun PEMENANG
  5. Pertandingan Bola Sepak Perpaduan
  6. Hari Terbuka PEMENANG Sempena Sambutan Awal Muharram (Maal Hijrah)
  7. Mesyuarat Agung Tahunan PEMENANG
  8. Majlis Penganugerahan Biasiswa Kenangan PEMENANG

     PEMENANG turut mengambil inisiatif dalam membela nasib dan membangunkan kekuatan akademik bangsa Melayu melalui sumbangan dan sokongan seperti penganugerahan Biasisiwa Kenangan PEMENANG kepada pelajar Melayu berketurunan Pulau Pinang melalui Tabung Biasiswa PEMENANG. Sejak 2003, seramai 12 orang pelajar telah mendapat tajaan biasiswa untuk melanjutkan pengajian di pelbagai Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di seluruh Malaysia, dalam pelbagai bidang pengajian. PEMENANG juga melalui Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Universiti Sains Malaysia (USM) telah melancarkan Projek Kecemerlangan Akademik (PeKA) yang akan membolehkan para pelajar sekolah rendah dan menengah berbangsa Melayu di Pulau Pinang mengikuti kelas tuisyen pada hujung minggu.

Nombor Pertubuhan : PPM-002-07-12031951

Leave a Reply