Tokoh Sukan 2017 (Encik Safarrudin)

Encik Safarrudin bin Mohd Zain atau lebih dikenali sebagai Safarrudin Zain telah dilahirkan pada 22 Mac, 1938 di 35-M Jalan Kelawei ,Georgetown, Pulau Pinang Bapanya adalah Allahyarham Mohd Zain Ahmad lebih dikenali sabagai Master Zain bekas salah seorang Setiausaha Persatuan melayu Pulau Pinang pada zaman penjajah dahulu yang juga merupakan seorang penggiat sukan pada ketika itu.

Encik Safarrudin telah mendapat pendidikan Sekolah Rendah dan Menengah di Anglo Chinese School ,Pulau Pinang. Minatnya dalam bidang Sukan telah bermula semenjak kecil lagi dan berjinak-jinak dalam bidang Sukan Berbasikal.

Menyingkap sejarah sukan berbasikal tanah air, nama Safarrudin Zain pastinya masih dikenang sebagai generasi pertama dari sukan berbasikal mengibar bendera Malaysia di temasya Sukan Olimpik bersama-sama N.A Rosli, Ng Joo Pong, Stephen Lim dan Andrew Michael .

Meskipun tidak sempat menamatkan perlumbaan dan menghentikan kayuhan selepas 7 pusingan, pengalaman beraksi di Tokyo 1964 itu kekal terpahat sebagai memori indah di ingatan Safarrudin, namun tanpa diduga ia juga meninggalkan kenangan pahit apabila menjadi temasya terakhir disertainya sebelum menoktahkan karier seawal usia 26 tahun.

Beraksi di Olimpik satu penghormatan dan pencapaian terbesar dalam karier seseorang atlet, di atas kejayaannya sebagai anak Penang yang mewakili negara ke Olimpik, beliau telah menerima sebuah basikal berjenama Fasto Coppi sumbangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Tetapi setibanya dari Olimpik Tokyo, basikal itu diambil oleh Kelab Lumba Basikal Pulau Pinang atas alasan mereka yang tolong mendapatkannya. Kecewa dengan situasi ini, beliau terus bersara dari arena lumba basikal..”.

Beliau selepas itu melupakan terus dunia berbasikal dan mengalihkan tumpuan secara penuh kepada kariernya sebagai Pengendali Kapal (Kargo) di sebuah syarikat perkapalan.

Membuka bicara tentang pembabitan awalnya sebagai seorang pelumba basikal, anak kelahiran Georgetown ini berkata semuanya bermula ketika beliau berusia 16 tahun, apabila rakan karibnya, Allahyarham Idris Ahyari membeli basikal baru jenis Hopper.

Mereka berdua berlumba sesama sendiri (time trial). Beliau meminta ibunya membeli sebuah basikal kepadanya. Arwah ibunya belikan sebuah basikal berjenama Bone Shakee buatan Itali dengan harga RM60 bagi memenuhi impiannya.Sejak itu beliau amat meminati sukan lumba basikal dan bermulalah sejarah Safarrudin Zain. Beliau bersama-sama Allahyarham Idris Ahyari dan Allahyarhamah Sapura Pawanteh mula memasuki pertandingan-pertandingan di Pulau Pinang dan negeri-negeri lain.

Sokongan keluarga nyata menjadi sumber inspirasi dan pendorong buat Encik Safarrudin Zain yang mendapat sentuhan jurulatih kebangsaan ketika itu, mendiang Gurchan Singh, untuk terus menapak mencipta nama dalam arena lumba basikal.

Encik Safarrudin Zain telah berjaya memenangi beberapa Pertandingan Perlumbaan Berbasikal antaranya:-

  • 1955 Juara Perlumbaan 50 batu round Island
  • 1957 Juara Perlumbaan 50 batu round Island Echo Cup.
  • 1958 Naib Juara Perlumbaan 150 batu Piala Emas Loh Ah Poh
  • 1960 Juara Perlumbaan 100 batu Gut Cup Teluk Anson
    Juara Perlumbaan 100 batu Piala Hopper Ipoh-Butterworth
  • 1961 Beraksi di Peringkat Akhir Sukan SEAP di Myanmar
  • 1963 Tempat Ketiga Jelajah Malaysia
  • 1964 Beraksi di peringkat Akhir Sukan Olimpik Tokyo

Beliau adalah seorang Ahli Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB)

Atas Jasa dan penglibatan beliau dalam bidang Sukan dan Anak Pulau Pinang ,beliau telah di Kurniakan Pingat Jasa Kebaktian(PJK ) oleh TYT Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang pada tahun 2015.