Tarikh | : | 4 Mei 2016 (Rabu) |
Tempat | : | Bilik Mesyuarat, Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa / Centre for Policy Research and International Studies (CenPRIS), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang |
Masa | : | 8.30 pagi – 12.30 tengah hari |
Anjuran | : |
Centre for Policy Research and International Studies (CenPRIS), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang dengan kerjasama Persatuan Melayu Pulau Pinang(PEMENANG) dan Pertubuhan Amanah Warisan Melayu Pulau Pinang(PEWARIS) |
Antara objektif Forum ini diadakan adalah:
- Mengenalpasti kampung-kampung tradisional di negeri Pulau Pinang yang berisiko tinggi untuk dibangunkan dan dilenyapkan terutamanya di bahagian pulau
- Menyelamatkan dan sekali gus mewartakan kampung-kampung tradisional sebagai warisan
- Membantu Warisan Melayu Pulau Pinang berasaskan fakta sejarah,budaya artifak dan faktor-faktor lain
- Membantu proses pewartaan kampong-kampung tradisional agar tidak dilenyapkan oleh arus pembangunan
- Mengkategorikan kampung-kampung tradisi di Pulau Pinang berasaskan kepada tahap risiko kepupusan dan berasaskan nilai warisan yang tinggi.
Antara individu/NGO yang dijemput ialah:
- Tuan S.M. Mohamed Idris, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang
- Encik Mohideen Abdul Kader, Naib Presiden, Persatuan Pengguna Pulau Pinang
- Y.Bhg Dato’ Dr. Wazir Jahan Karim
- Wakil dari Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG)
- Wakil dari Pertubuhan Amanah Warisan Melayu Pulau Pinang (PEWARIS)
- Wakil dari Sahabat Alam Malaysia (SAM)
ATURCARA
TEKS UCAPAN
UCAPAN YBHG TAN SRI DATO’ SERI HJ MOHD YUSSOF ABDUL LATIFF
PRESIDEN, PERSATUAN MELAYU PULAU PINANG (PEMENANG)
SEMPENA
FORUM “TRADITIONAL KAMPUNGS IN PENANG: THE NEED FOR MINDSET AND POLICY”
PADA 4 MEI 2016 JAM 8.30 PAGI
DI
PUSAT PENYELIDIKAN DAN KAJIAN ANTARABANGSA (CENPRIS)
UNIVERSITI SAINS MALAYSIA, PULAU PINANG
Di Sebalik Kepupusan Kampung-Kampung Melayu di Pulau Pinang: Masihkah orang Melayu tidak mahu belajar dari sejarah?
Tanah merupakan satu ruang geografi yang sangat penting bagi apa jua bangsa untuk “survive” di muka bumi ini. Tanah yang subur bagai rahmat untuk bangsa itu bercucuk tanam dan berkeluarga. Tanah yang kaya dengan minyak telah menyebabkan gurun yang tandus menjadi bandar mega dengan bangunan-bangunan tinggi yang menerjah ke langit, padang golf menghijau dan bangunan mewah dan tertinggi di dunia.
Hilang tanah maka merempatlah bangsa itu mencari ruang berlindung dan mengembara sehingga ke hujung laut dan di kaki bukit dan akhirnya pupus ditelan arus dan gelombang. Begitulah senario yang sedang melanda bangsa Melayu bukan sahaja di Pulau Pinang tetapi juga dari Perlis hingga ke Johor.
Dalam perjalanan kita di sepanjang lebuh raya dari tol Sungai Dua hingga ke tol Alor Setar, kita akan melihat di kiri dan kanan lebuh raya itu terbentang jalur-jalur sawah padi. Pernahkah kita menyoal diri sendiri berapakah jalur-jalur sawah padi itu yang masih milik orang Melayu? Kalau kita selidiki, saya yakin banyak yang telah tergadai kepada bukan Melayu. Sawah bendang masih ada tetapi pemiliknya telah berpindah tangan. Dari tuan tanah, orang Melayu menjadi penumpang yang mengerjakan tanah yang sudah menjadi milik orang.
Itu senario di sepanjang lebuh raya, cuba kita kembali ke Pulau Pinang dan Seberang Perai. Berapa banyakkah tanah Melayu yang masih tinggal? Makin bertambah atau berkurang? Dikatakan bahawa tanah milik Melayu di Daerah Timur Laut hanya 1.16 peratus, Balik Pulau (15.07 peratus), Seberang Perai Utara (44.20 peratus), Seberang Perai Tengah (23.55 peratus) dan Seberang Perai Selatan (18.09 peratus).Ini termasuk tanah milik Koperasi Orang Melayu dan tidak termasuk tanah wakaf). Ia menjadikan keseluruhan tanah milik Melayu di negeri ini cuma 20.41 peratus. Yang lebihnya milik bukan Melayu. Peratusan ini pasti akan semakin mengecil dan menguncup apabila orang Melayu akan menjualnya kepada bangsa asing.
Sebenarnya masalah kehilangan kampong-kampung tradisional Melayu di Pulau Pinang telah lama diperkatakan. Namun kampong Melayu telah hilang satu persatu , khususnya di bandar-bandar di Pulau Pinang. Pembangunan telah menjadi buldozer yang meruntuhkan kampong-kampong ini. Pembangunan tidak boleh dielak kerana ia satu tanda kemajuan. Namun pembangunan yang macam mana yang dapat menyelamatkan kampong-kampung Melayu ini?
Punca dan sebab terjadinya mala petaka ini
Bagi menemukan penyelesaikan kepada masalah yang serius ini maka kita perlu mencari punca-puncanya dan mengubatinya. Sebagaimana seorang doctor mengubat pesakitnya. Selalunya pesakit akan merasa ngeri dengan diagnose yang dibuat. Namun kita tidak ada pilihan. Kita perlu dengar sebab atau puncanya walau ia tepat mengenai batang hidung kita sendiri. Di sini saya senaraikan punca atau sebab-sebabnya:
- Desakan hidup
Orang Melayu menjual tanah kerana kesempitan hidup. Kemiskinan menyebabkan mereka menjual tanah untuk membeli keperluan-keperluan lain seperti membeli rumah dan membeli perkakas dan alat-alat rumah memberi pendidikan kepada anak-anak dan sebagainya. Majoritinya Melayu tidak akan mampu membeli rumah di bahagian Pulau. Trend pemaju di sebelah pulau ini sekarang adalah membina pangsapuri mewah yang tidak mampu dibayar oleh orang Melayu. Menurut Pensyarah Kanan Pusat Kajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Azeem Fazwan Ahmad Farouk, purata pendapatan per kapita mengikut kumpulan etnik bagi tahun 2004 menunjukkan kaum bumiputera memperoleh RM2,856 berbanding kaum Cina RM4,268 dan kaum India RM2,687. Maka ramai orang Melayu di bandar berada dalam kategori miskin tegar.
- Gaya hidup
Orang Melayu mudah tergoda dengan cara hidup mewah seperti memiliki rumah mewah, berkereta mewah, berbelanja besar seperti melancong dan membuat majlis perkahwinan secara besar-besaran. Suka hidup bergaya ini dikuatkan lagi tanpa mengira kemampuan diri dan cara singkat ialah menjual tanah yang ada. Harga tanah di Georgetown sekarang adalah sekitar RM500 ke RM600 sekaki persegi. Melihat angka yang besar dan lumayan itu, siapa yang tidak kelabu mata? Melayu yang kurang kesedaran akan segera menjualkannya.
- Mudah ditipu
Orang Melayu mudah ditipu oleh banyak perkara. Mereka mudah ditipu dengan kilauan wang sehingga tidak dapat memikir tentang masa depan keluarga dan bangsa. Orang Melayu mudah ditipu oleh pemimpin Melayu sendiri yang bertindak sebagai broker atau ejen yang menjanjikan pelbagai janji yang menarik seperti harga yang lebih baik atau menakut-nakutkan mereka dengan maklumat palsu seperti akan datang pembangunan di tanah mereka dan penjualan tidak dapat dielakkan. Maka orang Melayu menjual tanah mereka.
- Orang Melayu sendiri menjadi broker tanah
Oleh kerana ingin menjadi senang dengan mudah Orang Melayu sendiri menjadi broker tanah Melayu. Mereka menjadi orang tengah yang memujuk orang Melayu untuk menjual tanah mereka dengan pelbagai alasan yang menarik. Mereka akan memujuk orang Melayu untuk menjual tanah yang ada. Banyak kampong Melayu lenyap angkara daripada broker-broker keparat ini.
- Kurang kesedaran sejarah dan warisan
Orang Melayu kurang kesedaran sejarah dan warisan. Menjual tanah yang ada bermakna menjual sejarah dan warisan nenek moyang mereka. Mereka lebih mudah menjualnya daripada memikir tentang sejarah dan warisan. Peduli apa dengan sejarah dan warisan.
- Dasar pembangunan
Dasar pembangunan yang tidak terancang dan berat sebelah oleh pemaju dan disokong oleh pemerintah yang menyebabkan tanah-tanah Melayu diambil untuk tujuan pembangunan dengan mudah. Pembangunan itu perlu tetapi bukan atas tangisan orang-orang Melayu dan jangan sampai menganiaya orang Melayu. Kemelut dan nasib penduduk Melayu di Pulau Pinang yang terpinggir telah lama kedengaran. Tetapi ia kini semakin lantang kedengaran disebabkan tindakan kerajaan yang mula mengambil satu demi satu tanah untuk tujuan pembangunan. Kita tidak boleh menolak pembangunan. Tetapi soalnya, pembangunan yang bagaimana perlu dilakukan agar keadilan sosial dapat dinikmati semua kaum di negeri ini.
Kita perlu faham bahawa masalah berkaitan tanah Melayu di Pulau Pinang memang rumit untuk diselesaikan kerana ia melibatkan banyak perkara terutama berkaitan status. Hal ini berlaku kerana banyak tanah-tanah seperti di Kampung Jalan Pokok Asam, Kampung Tengah, Jelutong, Kampung Permatang Tepi Laut dan Kampung Teluk Kumbar. Kesemua tanah ini, kini telah dan akan menjadi milik pemaju. Ia jadi begitu selepas tanah yang diwarisi daripada nenek moyang telah digadai kepada ceti. Ceti pula menjual tanah itu kepada pemaju.Memang menyedihkan kerana rupa-rupanya selama ini, orang Melayu menumpang teduh di atas tanah yang asalnya milik mereka, tetapi terpaksa keluar dari kampung selepas mendapat perintah mahkamah.
Apa yang jelas adalah pembangunan ‘berat sebelah’ iaitu sekadar membina pangsapuri mewah yang tidak mampu dimiliki majoriti penduduk Melayu.
- Tiada perancangan jangka panjang
Tiada perancangan jangka panjang untuk menyelamatkan tanah Melayu yang ada. Ura-ura untuk menwujudkan bank tanah untuk membeli tanah-tanah Melayu hanya retorik kosong. Ada peruntukan yang disediakan oleh kerajaan pusat pada satu waktu dahulu tidak digunakan secara bijaksana. Ada pemimpin politik orang Melayu yang berfikiran cetek dan dungu.
- Agensi kerajaan yang gagal
Ada agensi kerajaan yang ditugaskan untuk menyelamatkan tanah-tanah Melayu. Apakah UDA dan PERDA telah meminkan peranan mereka dengan sewajarnya? Adakah agensi-agensi ini telah melaksanakan tanggungjawab penubuhan mereka atau mereka juga menjadi ejen yang melenyapkan kampong Melayu. Apakah Kampung Melayu Tanjung Tokong menjadi contoh klasik kegagalam UDA menyelamatkan kampong-kampung Melayu? Adakah UDA juga turut menjual tanah-tanah Melayu tersebut atas nama untuk pembangunan dan mencari keuntungan?
- Tidak ramai pemimpin Melayu yang benar-benar jujur
Berapa ramai pemimpin Melayu yang benar-benar berusaha untuk mempertahankan tanah Melayu? Apakah rancangan-rancangan yang telah mereka buat dan laksanakan dengan jujur. Sebaliknya ada pemimpin Melayu sama ada politik atau Pegawai yang diberi amanah yang sama-sama menjadi broker tanah untuk dijual kepada bangsa asing atau untuk diri sendiri. Kes di Balik Pulau baru-baru ini Kes Yayasan Bumiputra ,Pulau Pinang sebagai bukti kebejatan ini.(rosak pekerti)
Berdasarkan sebab-sebab ini, cuba kita perhatikan kampong-kampung Melayu di Pulau Pinang. Banyak kampong-kampung Melayu di Pulau Pinang telah hilang dari muka bumi ini, hanya tinggal nama sahaja . Dan akan ada lagi yang akan hilang. Tunggu sahaja masanya. Selain sebab-sebab yang telah dinyatakan, ada kampong-kampung Melayu ini yang tanahnya bukan miliki peribadi tetapi milik orang lain, atau milik kerajaan atau swasta. Walau apa pun status tanah tersebut, sama ada tanah persendirian, tanah syarikat, tanah ceti, tanah tol atau tanah pemaju, kampung-kampung di tanah-tanah ini akan hilang ditelan arus pembangunan jika kita leka dan tidak berbuat sesuatu untuk menyelamatkannya.
Kajian mendapati beberapa ribu orang Melayu telah kehilangan tempat tinggal kerana rumah mereka kini dibina di atas tanah milik bukan Melayu seperti Kampung Jalan Pokok Asam, Kampung Binjai, Teluk Kumbar dan Bayan Lepas telah dibangunkan. Pada hari ini terdapat sebuah kampong yang bernama kampung Mutiara, Batu Feringgi, Pulau Pinang sedang dalam proses kepupusan. Penghapusan kampung Melayu ini melibatkan tindakan meroboh 42 rumah (40 rumah orang Melayu dan 2 rumah orang India) yang mengandungi 96 keluarga yang terdiri daripada 350 orang.
Antara kampung-kampung Melayu di Pulau Pinang yang masih ada dan yang telah dan mungkin akan lenyap:
- Kg Permatang Tok Subuh
- Kg Buah Pala
- Kg Pokok Assam,Jelutong
- Kg Dodol
- Kg Binjal
- Kg Batu Uban
- Kg Bukit Dumbar
- Kg Tanjung Tokong
- Kg Bagan Dalam
- Kg Permatang Tepi Laut
- Batu Maung
- Kg Pulau Jelutong
- Kg Lima Kongsi,Sungai Bakap
- Kg Teluk Kumbar
- Kg Dalca
- Kg Sungai Nibong Kechil
- Kg Tengah Jelutong
- Kg Terang Balik Pulau
- Kg Genting,Balik Pulau
- Kg Pondok Upeh, Balik Pulau
- Kg Padang Benggali, Permatang Pauh
- Teluk Air Tawar
- Kg Gajah, Bagan
- Kg Nelayan, Teluk Kumbar
- Kg Selut Sg Pinang
- Kg Siam, Pulau Tikus.
- Kg Mutiara, Batu Feringghi
- Kg Sama Gagah, Permatang Pauh
- Kg Bagan Jermal, Pulau Pinang
- Kg Bagan Ajam,Butterworth
- Bagan Dalam ,Butterworth
Jika kampong-kampung ini masaih ada, elok kita renungi satu pantun yang diasosiasikan atau yang ada hubungan dengan masalah kampong orang Melayu di Pulau Pinang:
Pulau Pinang bandar baru,
Kapten Light menjadi raja;
Bila terkenang kampong Melayu,
Jatuh berlinang si air mata.
Kita jangan terus meratap kehilangan kampong-kampung Melayu. Masih ada kampong-kampung Melayu yang perlu di selamatkan. Kita perlu bertindak segera, terancang, berkesan dan ke hadapan
Apakah jalan penyelesaiannya?
Sebab atau punca kehilangan kampong-kampung tradisional Melayu itu perlu dilihat kembali secara jujur ikhlas dan telus. Satu postmortem yang komprehensif perlu dibuat segera. Orang Melayu perlu bukan sahaja bijak tetapi juga perlu cerdik. Mereka perlu mengambil kesempatan yang ada dan berpandangan jauh.
Pemimpin politik Melayu jangan jadi harimau memakan anak-anaknya. Jangan jadi seperti “harapkan pagar makan padi.”Jadilah pemimpin yang jujur dan ikhlas. Kepimpinan politik Melayu Pulau Pinang yang jujur dan transparent perlu menjadi tonggak utama untuk mengatasi masalah ini. Kita perlu belajar dari sejarah dan bukan mengulangi sejarah yang silap itu. Perbezaan ideologi politik bukan satu kekangan untuk menghadapi masalah yang sama ini.
Di kawasan-kawasan bandar di mana masih ada perkampungan Melayu, pembangunan pasti akan datang ke kawasan-kawasan tersebut. Kampung-kampung Melayu tradisional sama ada di atas tanah wakaf, persendirian dan kerajaan perlu dibangunkan dengan pembangunan moden tetapi pemilik pembangunan moden ini mestilah orang Melayu. Mereka mesti sanggup untuk mempertahankan kampong halaman mereka dan tidak mudah menyerah kalah atau ditipu.
Orang Melayu jangan berbalah sesama sendiri, sebaliknya bermuafakat untuk mengekalkan kampong yang ada. Jangan ada lagi broker Melayu menjual tanah orang Melayu. Broker tanah ini perlu disedarkan atau diambil tindakan dengan lebih tegas. Mereka sebenarnya pengkianat bangsa Melayu. Orang Melayu perlu dibantu walau pun kita tidak suka orang Melayu terus dberi tongkat untuk hidup.
Bank Tanah untuk membeli tanah-tanah Melayu dan bukan Melayu perlu ditubuhkan segera. Akan ada lagi tanah akan dijual dan bank tanah ini sebagai pembeli agar tanah itu tidak jatuh kepada orang bukan Melayu.
Sudah tiba masanya kita bentuk satu jawatankuasa bertindak yang cekap dan bertindak secara professional bagi menyelamatkan kampung-kampung Melayu di Pulau Pinang yang terdiri daripada Ahli-Ahli Jawatankuasa dari Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat (sebagai pembuat dasar), Ahli-Ahli Akademik (dengan kajian ilmiah) dan NGO (yang prihatin dengan masalah ini). Jawatankuasa ini hendaklah bebas , jujur dan amanah dan tidak tertakluk kepada mana-mana parti politik.
Akhir kata, eloklah kita selalu bertemu dan berbincang serta memantau perkembangan kampong-kampung Melayu ini agar ada sesuatu yang dapat dilakukan agar ia tidak hilang selama-lamanya.