PULAU PINANG 4 Mei – Jumlah pegangan tanah dalam kalangan orang Melayu di negeri ini dipercayai semakin merosot berbanding jumlah yang dimiliki tujuh tahun lalu.
Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang), Tan Sri Mohd. Yussof Latiff berkata, melalui data Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa (Cenpris), Universiti Sains Malaysia (USM), tanah yang dimiliki orang Melayu di negeri ini antara tahun 2008 dan 2009 hanya sebanyak 20.41 peratus.
Katanya, sebahagian besar tanah milik orang Melayu itu pula terletak di bahagian Seberang Perai dengan bahagian pulau hanya bersisa kira-kira 16 peratus.
“Daerah Seberang Perai Utara (SPU) mencatat jumlah milikan tertinggi iaitu 44 peratus daripada keseluruhan tanah yang tinggal manakala Seberang Perai Tengah (SPT) sebanyak 23.55 peratus dan Seberang Perai Selatan pula 18.09 peratus.
“Bagi kawasan pulau, jumlah pegangan tanah orang Melayu lebih menyedihkan dengan Daerah Barat Daya mencatatkan sebanyak 15.07 peratus manakala Timur Laut hanya 1.16 peratus,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan forum ‘Kampung Tradisional Pulau Pinang: Keperluan Menetapkan Pemikiran dan Pengubahan Dasar’ di USM, di sini hari ini.
Forum itu dianjurkan bersama Pemenang; Cenpris; USM dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Selain Mohd. Yussof, turut terbabit sebagai ahli panel dalam forum itu ialah Datuk Dr. Wazir Jahan Karim; Prof. Emeritus Datuk Hood Salleh dan Mohideen Abdul Kader.
Forum itu bertujuan membincangkan mengenai isu kelangsungan kampung-kampung tradisi Melayu di negeri ini yang kini diancam pembangunan moden.
Sementara itu, Mohd. Yussof yang juga Presiden Pertubuhan Amanah Warisan Melayu Pulau Pinang (Pewaris) berkata, beliau yakin pegangan tanah milik orang Melayu di negeri ini lebih rendah berbanding data daripada Cenpris itu.
Menurutnya, beliau difahamkan lebih 20.23 hektar (50 ekar) tanah milik koperasi Melayu di negeri ini telah dijual kepada sebuah syarikat swasta bagi tujuan pembangunan.
Turut dikesalkan, kata beliau, terdapat tanah di Tanjong Tokong yang sebelum ini diberikan kepada sebuah agensi kerajaan dipercayai turut dijual kepada pihak swasta menjadikan pegangan tanah orang Melayu semakin susut.
Bagi mengatasi masalah itu, tegas beliau, Pemenang mencadangkan wang kutipan zakat digunakan untuk membeli tanah di mana-mana negeri yang dirasakan sesuai bagi diwakafkan demi menjamin masa depan orang Melayu.
“Difahamkan kutipan zakat setahun mencecah RM2.4 bilion dan di negeri ini sahaja dikatakan ada lebihan kira-kira RM800,000 wang zakat.
“Jadi adalah lebih baik wang zakat ini diuruskan melalui kuasa Yang di-Pertuan Agong supaya lebihannya dapat digunakan untuk membeli tanah dan kita akan menghantar memorandum berkenaan perkara ini kepada Seri Paduka,” katanya.
Selain itu, tegas beliau, Pemenang; Cenpris dan berberapa NGO di negeri ini akan mengusulkan supaya satu jawatankuasa khas yang bertindak secara profesional dan bebas ditubuhkan dalam usaha menyelamatkan kampung-kampung Melayu di negeri ini.
“Kita juga mendesak supaya tubuh segera bank tanah untuk membeli tanah Melayu dan bukan Melayu kerana akan ada lagi tanah-tanah yang bakal terjual selepas ini.
“Jadi bank tanah ini boleh memainkan peranannya untuk membeli tanah itu supaya tidak jatuh ke tangan kaum lain,” katanya.