
Tuan Haji Abdullah bin A. Beeran ialah anak watan Pulau Pinang yang dilahirkan pada 19 Ogos 1955. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Telok Kumbar sebelum meneruskan pengajian di Sekolah Menengah St. George dan Methodist Boys’ School. Seterusnya, beliau melanjutkan pelajaran di Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) pada tahun 1976 dan berkhidmat sebagai guru dari tahun 1978 sehingga tahun 1996.
Penghijrahannya ke Kelantan telah membawa perubahan besar dalam hidupnya. Pada tahun 1997, Haji Abdullah mula berjinak-jinak dalam dunia perniagaan sehingga cita-citanya untuk menjadi seorang usahawan tersohor akhirnya menjadi kenyataan. Kini, beliau ialah pemilik dan pengarah bagi Syarikat Seri MH Ummi Sdn. Bhd. dan Syarikat Intan Biotech Industries Sdn. Bhd. yang beroperasi di Pengkalan Chepa, Kelantan.
Syarikat beliau mengeluarkan produk kesihatan serta ubatan tradisional berasaskan herba, produk pra-campuran (termasuk kopi pra-campuran dan susu), jus kesihatan, serta kosmetik penjagaan diri wanita. Selain itu, beliau juga memiliki kilang percetakan dan kilang pengeluaran pembungkusan plastik. Secara keseluruhan, beliau meneraju:
-
7 cawangan kilang pengeluaran.
-
Tenaga kerja seramai 450 orang.
-
Kilang pengeluaran Bumiputera yang telah mendapat pengiktirafan dan taraf persijilan rasmi seperti ISO, HACCP, GMP, MeSTI, dan HALAL daripada badan kerajaan.
Dalam kesibukan menguruskan perniagaan, Haji Abdullah tidak ketinggalan untuk aktif menyumbang dan membantu golongan yang memerlukan melalui peranan beliau seperti:
-
Penaja Utama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).
-
Ahli Lembaga Pelawat Jabatan Psikiatri Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, Kelantan.
-
Penaung Pusat Jagaan Pondok di Kelantan yang bertanggungjawab menyalurkan sumbangan kepada golongan asnaf, rumah anak yatim, serta masyarakat miskin setempat.
-
Penyumbang utama bagi projek pembinaan, pembesaran, dan baik pulih masjid-masjid di daerah Kota Bharu.
Beliau merupakan seorang dermawan yang dikenali ramai di Kelantan atas sifatnya yang penyayang dan peramah. Atas jasa dan sumbangan bakti tersebut, beliau telah dianugerahkan gelaran Tokoh Usahawan MARA Negeri Kelantan pada tahun 2025.


