YBhg. Dato’ Seri Hajah Norliza binti Abdul Rahim ialah anak jati kelahiran Pulau Pinang. Keluarga beliau amat dikenali ramai, khususnya dalam kalangan masyarakat di negeri tersebut.

Beliau memiliki latar belakang pendidikan yang cemerlang dengan kelulusan daripada Lincoln University dalam bidang berikut:

  • Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA)

  • Ijazah Sarjana Muda Perdagangan dan Pengurusan

  • Diploma Perakaunan

YBhg. Dato’ Seri Hajah Norliza merupakan seorang tokoh korporat dan usahawan berpengalaman dengan lebih 30 tahun penglibatan dalam bidang pembangunan hartanah, pengurusan korporat, pentadbiran awam, dan pembangunan ekonomi. Beliau sangat dikenali atas kepimpinan yang strategik, tadbir urus berintegriti, dan keupayaan membangunkan organisasi ke arah kecemerlangan.

Sepanjang kerjayanya, beliau telah memainkan peranan penting dalam pelbagai projek pembangunan berskala besar di Pulau Pinang, yang melibatkan pembinaan lebih 15,000 unit pembangunan bercampur serta lebih 10,000 unit perumahan dan komersial.

Di peringkat korporat, beliau pernah dan sedang memegang pelbagai jawatan profil tinggi, antaranya:

  • Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) (Kini)

  • Pengerusi Boustead Hotels & Resorts (Kini)

  • Pengerusi KUB Malaysia Berhad (2023)

  • Pengerusi UDA Holdings Berhad (2021)

  • Ahli Lembaga Pengarah KUB Malaysia Berhad (2018)

  • Pengarah Yayasan Melayu Bukit Gelugor (2009)

Selain mengetuai Prime View, beliau turut berkhidmat sebagai Ahli Dewan Negara (Senator) dari tahun 2011 hingga 2017. Dalam tempoh tersebut, beliau diberi kepercayaan mewakili Malaysia dalam pelbagai persidangan antarabangsa termasuk Asia Pacific Parliamentary Forum (APPF) 2017, Persidangan APPF di Vancouver, Kanada (2016), dan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pengalaman luas dalam sektor korporat, pembangunan ekonomi, pengurusan risiko, dan pemerkasaan masyarakat menjadikan YBhg. Dato’ Seri Hajah Norliza seorang pemimpin wanita yang disegani serta mampu menerajui mana-mana organisasi ke arah kecemerlangan dan kelestarian.

Atas jasa dan sumbangan bakti beliau kepada masyarakat dan negara, beliau telah dikurniakan darjah kebesaran dan pengiktirafan seperti berikut:

  • Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (D.G.P.N.) – Membawa gelaran Dato’ Seri (2024)

  • Panglima Jasa Negara (P.J.N.) – Membawa gelaran Datuk (2015)

  • Pingat Kelakuan Terpuji (P.K.T.) – (2006)

  • Pingat Jasa Masyarakat (P.J.M.) – (2003)