YBhg. Datin Seri Wan Zuraida binti Amiruddin dilahirkan di Pulau Pinang pada 2 September 1968. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Sultanah Asma, Alor Setar, Kedah dari tahun 1975 hingga 1980, sebelum melanjutkan pengajian peringkat menengah di sekolah yang sama pada tahun 1981 hingga 1985. Atas doa restu ibu bapa serta bimbingan guru-guru, beliau seterusnya berpeluang melanjutkan pengajian tinggi di University of the Pacific, Stockton, California, Amerika Syarikat.

Datin Seri Wan Zuraida memulakan perkhidmatan dalam dunia keguruan sebagai guru Bahasa Inggeris pada Disember 1990 di SMK Alor Janggus, Alor Setar, Kedah. Setahun kemudian, beliau mendirikan rumah tangga. Atas tanggungjawab sebagai seorang isteri, beliau memohon untuk bertukar ke Pulau Pinang bagi mengikut suami yang bertugas di sana.

Walaupun permohonan pertukaran beliau diluluskan, penempatan di sebelah pulau ketika itu telah penuh berikutan lambakan guru Bahasa Inggeris. Oleh itu, beliau ditempatkan di SMK Dato’ Onn, Butterworth pada Disember 1992. Tidak lama kemudian, beliau berpindah ke Sekolah Menengah Vokasional Butterworth bagi memenuhi kekosongan guru Tingkatan 5 yang melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Pada Disember 1994, permohonan beliau untuk berpindah ke bahagian pulau akhirnya berjaya. Bermula tahun 1995, beliau berkhidmat di SMK Raja Tun Uda, Bayan Lepas selama 10 tahun, sebelum berpindah ke SMK Datuk Haji Mohd Nor Ahmad pada tahun 2005.

Secara keseluruhannya, pengalaman berkhidmat di beberapa buah sekolah — termasuk 14 tahun di SMK Datuk Haji Mohd Nor Ahmad — telah banyak mengajar beliau erti kesabaran dan keredaan dalam menghadapi pelbagai cabaran dunia pendidikan.

Pada November 2019, beliau telah diberi amanah yang lebih besar apabila dilantik sebagai Timbalan Pegawai Pendidikan Sektor Pembelajaran di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Timur Laut, Pulau Pinang. Beliau berkhidmat di posisi tersebut sehinggalah mengambil keputusan untuk menamatkan perkhidmatan dalam bidang pendidikan secara bersara pilihan pada April 2022.

Kini, beliau aktif meneruskan sumbangan dan kerja-kerja kebajikan masyarakat menerusi Pertubuhan Wanita Mutiara serta Persatuan Kebajikan Anak-Anak Miskin Islam Pulau Pinang.