
Puan Rabiya binti Abdul Kadir, atau lebih dikenali dengan panggilan Ruby, dilahirkan pada tahun 1960 di sebuah rumah beralamat 131-C Muntri Street, George Town, Pulau Pinang.
Pendidikan awal beliau bermula pada tahun 1967 di Sekolah Rendah Chowrasta, Jalan Hutton, sebelum melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Sri Mutiara dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5. Selepas tamat persekolahan, beliau bekerja sebagai penyelia (supervisor) di Kilang Motorola, Bayan Lepas selama lima tahun.
Beliau kemudiannya mendapat tawaran berkhidmat di Jabatan Kebudayaan, Belia dan Sukan (JKBS) dalam Bahagian Usahawan. Di sana, beliau diberi tanggungjawab untuk mempelajari pelbagai bidang tugas. Kursus pertama yang diikutinya ialah Kursus Seni dan Budaya di Kem Coronation Waterfall, Pulau Pinang. Seterusnya, beliau dilantik sebagai Jawatankuasa Program Penang Bridge Run anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersama Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Beliau kemudiannya menggalas tanggungjawab sebagai Jawatankuasa Usahawan Bidang Makanan yang melibatkan lima daerah di Pulau Pinang, iaitu Timur Laut, Barat Daya, Seberang Perai Tengah (SPT), Seberang Perai Selatan (SPS), dan Seberang Perai Utara (SPU).
Di luar waktu pejabat, beliau aktif mendalami seni warisan seperti bangsawan, makyung, teater, dan seni tari di Pusat Pengajian Seni, Universiti Sains Malaysia (USM) di bawah kelolaan YBhg. Profesor Emeritus Dato’ Dr. Gouse Ismail @ Gouse Nazaruddin. Selain itu, beliau juga menganggotai kumpulan boria Jabatan Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Pada tahun 1990, Puan Rabiya menubuhkan kumpulan kebudayaan sendiri, iaitu Mutiara Cultural Dance Group. Melalui platform ini, beliau telah dilantik sebagai tenaga pengajar tarian Melayu serta menyediakan khidmat solekan dan dandanan untuk isteri-isteri konsulat Jepun setiap kali melibatkan persembahan rasmi. Kumpulan Mutiara Cultural Dance Group ini bertahan secara aktif sehinggalah pergerakannya terpaksa dihentikan pada tahun 2020 berikutan penularan wabak COVID-19 dan pelaksanaan perintah sekatan pergerakan (lockdown) yang menyaksikan semua warga Jepun diarahkan pulang ke negara asal mereka.
Sebagai seorang aktivis budaya yang disegani, Puan Rabiya turut menjadi tenaga pengajar tarian kebudayaan, boria, dan kompang di pelbagai kilang gergasi seperti Motorola, HP, Intel, Baxter, Dell, B. Braun, Jabil, AMD, Renesas, dan Plexus. Atas permintaan Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP), beliau turut mencurahkan bakti mengajar seni tarian kebudayaan dan boria di beberapa buah sekolah di seluruh Pulau Pinang.
Penglibatan beliau dalam bidang kebudayaan turut mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa melalui siri persembahan dan lawatan ke luar negara, antaranya:
-
Medan Fair (Indonesia), Ekspo Yokohama (Jepun), serta siri persembahan tarian di Adelaide (Australia) dan Korea Selatan.
-
Mengikuti program latihan selama empat bulan di Florida dan Fort Lauderdale (Amerika Syarikat) bagi mempelajari seni tarian negara tersebut.
-
Mengikuti lawatan ke Medan, Bali, dan Jakarta bersama Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA).
-
Menyertai delegasi Dewan Perniagaan Islam Malaysia (DPIM) Pulau Pinang/Kuala Lumpur ke Delhi, Agra, Jaipur, Kashmir (India), Sri Lanka, dan China.
-
Menghadiri misi ke Aceh (Indonesia) pasca-tsunami serta terlibat dalam Majlis Pelancaran Rasmi Penerbangan Pertama dari Pulau Pinang ke Aceh anjuran Kerajaan Negeri dan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).
-
Menyertai rombongan pensyarah Pusat Pengajian Seni USM bagi mengadakan persembahan kebudayaan di Sabah, Sarawak, dan Brunei.
Atas jasa dan sumbangan bakti yang tidak ternilai dalam memartabatkan seni dan budaya, Puan Rabiya binti Abdul Kadir telah dianugerahkan pingat kehormatan daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang, iaitu Pingat Jasa Kebaktian (PJK).


