Tuan Haji Abdul Said bin Hussain adalah Pengarah Jabatan Pendidikan Pulau Pinang. Beliau dilahirkan pada 23 September 1964 di Pulau Pinang dan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sejarah & Sains Politik dari Universiti Sains Malaysia.
Abdul Said mempunyai pengalaman yang luas sebagai pendidik dan berkhidmat selama 35 tahun. Beliau mula bertugas di Perlis selama lima tahun sebelum kembali ke Pulau Pinang bertugas sebagai guru di SK Kongsi dan SMK Seri Balik Pulau.
Beliau pernah bertugas sebagai Timbalan PPD Timur Laut dan Timbalan Pengarah Pendidikan di Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang.
Semasa zaman belianya Abdul Said sangat aktif dalam pertubuhan belia dan bakat kepimpinannya terserlah apabila menjuarai Anugerah Belia Perdana Peringkat Negeri pada 2002 serta naib johan bagi Anugerah Belia Perdana kategori kepimpinan peringkat kebangsaan 2003 anjuran Kementerian Belia dan Sukan.
Lebih mesra dengan panggilan Cikgu Said, beliau pernah menjuarai Anugerah ICT peringkat kebangsaan 2005 (juara komuniti tempatan) Kementerian Sains dan Teknologi serta berjaya menyandang naib johan pentadbir kokurikulum peringkat kebangsaan pada tahun 2009.
Mulai 19 Februari 2024 beliau terlibat secara aktif dalam bengkel penataran manual penguatkuasaan Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) dan peraturan-peraturan pendidikan di Institusi Pendidikan Kerajaan (IPK) dan institusi pendidikan bantuan (IPBK), Konvensyen Majlis Guru Besar Pulau Pinang dan bengkel kerja pengurusan data dan murid JPN/PPD unit prasekolah dan unit pendidikan swasta negeri Pulau Pinang.
Walaupun sibuk dengan tugas hariannya Abdul Said tetap memperutukkan waktu untuk kerja-kerja amal, berkongsi Ilmu dan membantu badan-badan NGO yang memerlukan khidmat beliau dari masa ke semasa.
Atas jasa baktinya, Abdul Said telah dikurniakan pingat PJK (2002), PKT (2014) dan BCN (2018) oleh TYT Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang.